Mitos penjajahan: Kedaulatan Melayu hilang lima tahun, bukan lima abad

9 Mei 2025

Mitos penjajahan: Kedaulatan Melayu hilang lima tahun, bukan lima abad

Oleh: Prof. Madya Dr.Mohd Hazmi Mohd Rusli

APABILA kita membicarakan sejarah Malaysia, ramai antara kita beranggapan tanah air ini telah dijajah oleh kuasa asing selama beratus-ratus tahun — bermula dengan Portugis, kemudian Belanda, dan akhirnya British. Namun jika diteliti dari perspektif undang-undang antarabangsa dan kedudukan sebenar raja-raja Melayu, naratif ini tidaklah sepenuhnya tepat.

Hakikatnya, kebanyakan Negeri-Negeri Melayu — kecuali Negeri-Negeri Selat seperti Pulau Pinang, Melaka dan Singapura — tidak pernah dijajah sepenuhnya secara sah dari segi undang-undang. Raja- raja Melayu masih mengekalkan kedaulatan mereka sepanjang kebanyakan tempoh sejarah kita.

Kedaulatan ini hanya terhakis sepenuhnya dalam dua tempoh yang singkat — semasa Pendudukan Jepun (1941–1945) dan penubuhan Malayan Union (1946–1948). Kedua-dua tempoh ini hanya merangkumi lebih kurang lima tahun — satu jangka masa yang amat kecil jika dibandingkan dengan sejarah panjang dan gemilang Tanah Melayu. Namun ramai rakyat Malaysia masih membesar dengan kepercayaan bahawa negara ini telah dijajah selama berabad-abad — satu naratif yang wajar kita nilai semula.

Melaka bukan seluruh Tanah Melayu
Mari kita imbas kembali ke tahun 1511, apabila Portugis menawan Melaka. Penting untuk difahami bahawa ketika itu, Melaka hanyalah satu daripada banyak kerajaan Melayu. Selepas kejatuhannya, Kesultanan Johor segera bangkit sebagai penerus warisan Melaka. Apabila Belanda menggantikan Portugis pada tahun 1641, mereka juga hanya menguasai Melaka — bukan seluruh Semenanjung Tanah Melayu.

Malah, kedua-dua kuasa Eropah ini hanya menguasai kawasan kota berkubu Melaka yang dikenali sebagai A Famosa, dengan keluasan sekitar 0.57 kilometer persegi sahaja—hampir sama besar dengan kawasan KLCC hari ini, dan lebih kecil sedikit berbanding KL Sentral. Kawalan mereka sangat terbatas dan tidak melangkaui kawasan itu tanpa kerjasama raja-raja Melayu di sekelilingnya.

Malah, Portugis kerap diserang oleh kerajaan-kerajaan Melayu serantau seperti Johor dan Aceh, menjadikan kedudukan mereka sentiasa terancam dan bertahan. Keadaan ini menghalang mereka daripada memperluas jajahan seperti mana yang mereka lakukan di Brazil atau Timor-Leste, dengan penguasaan mereka jauh lebih besar dan mendalam.

Negeri-negeri lain seperti Kedah, Perak, Johor dan Terengganu kekal di bawah pemerintahan raja-raja mereka sendiri. Mereka menandatangani perjanjian, menjalankan diplomasi dan berdagang secara bebas.

Maka, anggapan bahawa seluruh Tanah Melayu telah dijajah sejak 1511 adalah tidak tepat. Hanya Melaka yang dijajah, manakala selebihnya masih berada di bawah kedaulatan raja-raja Melayu.

Kedah hilang kedaulatan sementara kepada Siam
Satu pengecualian penting ialah Kedah, yang telah diserang oleh Siam pada tahun 1821. Sultan Kedah diusir dan negeri itu diletakkan di bawah kawalan langsung Siam. Namun pada tahun 1842, selepas rundingan dan penentangan yang berterusan, kedaulatan Kedah dipulihkan apabila sultan dikembalikan ke takhta. Peristiwa ini sekali lagi membuktikan bahawa walaupun kedaulatan dirampas, ia bukanlah bersifat kekal. Usaha-usaha diplomatik dilakukan untuk memulihkannya — dan berjaya.

Pemerintahan British dan Raja-Raja Melayu
British mula terlibat secara aktif pada abad ke-19 menerusi sistem Residen, terutamanya selepas Perjanjian Pangkor 1874. Walau bagaimanapun, raja-raja Melayu masih kekal bertakhta. British mentadbir melalui perjanjian — bukan dengan penjajahan secara langsung, kecuali di Negeri-Negeri Selat yang menjadi tanah jajahan Mahkota.

Jika benar Tanah Melayu dijajah sepenuhnya, maka tidak perlu wujud sebarang perjanjian. Bukti paling jelas ialah pada tahun 1945, apabila wakil British, Sir Harold MacMichael, perlu mendapatkan tandatangan setiap raja Melayu untuk menubuhkan Malayan Union. Tindakan ini menunjukkan bahawa, dari segi undang-undang antarabangsa, kedaulatan raja-raja Melayu masih diiktiraf —kerana tiada keperluan untuk berunding dengan pihak yang tidak memiliki kuasa sah.

Pendudukan Jepun dan Malayan Union
Dua tempoh utama di mana kedaulatan raja-raja Melayu ditangguhkan sepenuhnya ialah ketika Pendudukan Jepun (Disember 1941 – Ogos 1945) dan Malayan Union (April 1946 – Januari 1948). Jepun meminggirkan raja-raja dan melaksanakan pemerintahan tentera secara langsung.

Selepas perang, British pula datang dengan gagasan Malayan Union yang menghapuskan kuasa raja-raja dan mewujudkan sistem pentadbiran pusat. Namun akibat bantahan besar-besaran rakyat, Malayan Union runtuh selepas hanya 21 bulan. Kedaulatan raja-raja Melayu dipulihkan dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.

Dari perspektif undang-undang antarabangsa
Melalui lensa undang-undang antarabangsa, kebanyakan Negeri-Negeri Melayu tidak pernah dijajah sepenuhnya. Mereka kekal sebagai entiti berdaulat yang berada di bawah perlindungan dan pentadbiran British — tetapi tidak pernah dirampas secara sah sebagai tanah jajahan. Kedaulatan mereka mungkin lemah, tetapi tidak dihapuskan — kecuali dalam tempoh enam tahun semasa Jepun dan Malayan Union.

Jadi, adakah kita benar-benar dijajah selama berabad-abad? Jawapannya ialah tidak — sekurang- kurangnya tidak dari sudut perundangan antarabangsa, dan bukan seperti yang sering digambarkan.

Kecuali Negeri-Negeri Selat, pendudukan sementara Siam di Kedah, dan kehadiran asing di kawasan kecil Melaka, raja-raja Melayu kekal bertakhta dan diiktiraf secara sah sepanjang sejarah. Kita perlu menyampaikan naratif yang lebih tepat dan bermaruah kepada generasi muda.

Sepertimana Thailand menonjolkan kejayaannya sebagai satu-satunya negara di Asia Tenggara yang tidak pernah dijajah secara rasmi walaupun sejarahnya mencatatkan detik hitam apabila ibu kotanya, Ayutthaya, ditawan dan dimusnahkan oleh tentera Burma pada tahun 1767.

Pada ketika itu, rakyat Siam diperas, dijadikan tawanan, dan kota suci mereka dibakar tanpa belas. Namun daripada abu kehancuran itu, mereka bangkit membina semula tamadun dan akhirnya memacu naratif sebagai bangsa yang merdeka dan berdaulat.

Begitu juga Korea, yang tidak pernah melupakan penderitaan zaman penjajahan Jepun—lalu membina semula Istana Gyeongbokgung sebagai simbol pemulihan martabat negara. Maka, kita juga harus menyanjung dan mengangkat kecekalan raja-raja Melayu yang memilih jalan diplomasi berstrategi dalam menghadapi kuasa besar, demi mempertahankan maruah bangsa dan kesinambungan kedaulatan tanah air.

Tak seperti yang selalu diceritakan—bangsa ini berdiri sendiri lebih lama daripada yang disangka. Dan kebenaran itu harus kita perjelas, bukan dibungkam atau dilenyap di atas kertas.

Penulis adalah Ketua Unit Undang-Undang Antarabangsa, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan Felo Penyelidik di Institut Hal Ehwal dan Diplomasi Antarabangsa Asia (AIIAD), Universiti Utara Malaysia.

Galabet Portobet Deneme Bonusu Galabetguncelgirisi Galabetonlinecasino Galabetonlineslotoyna