[KOLUMNIS] Mengapa KTM perlu ditukar, tetapi nama penjajah kekal mekar?

Kolumnis AWANI

25/04/2025 18:01 MYT

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kolumnis-mengapa-ktm-perlu-ditukar-tetapi-nama-penjajah-kekal-mekar-518152

CADANGAN untuk menukar nama Keretapi Tanah Melayu (KTM) atas alasan kononnya ia sudah “lapuk” telah menimbulkan polemik dalam kalangan rakyat. Dikatakan nama tersebut tidak lagi mencerminkan wajah Malaysia moden dan inklusif.

Namun, cadangan ini menimbulkan satu persoalan besar — jika KTM, sebuah nama dalam bahasa kebangsaan yang mempunyai akar sejarah tempatan dianggap ketinggalan zaman, bagaimana pula dengan pelbagai nama tempat yang jelas diwarisi daripada era kolonial?

KTM bukanlah tinggalan penjajahan. Berbeza dengan George Town, yang dinamakan sempena Raja George III; atau Port Dickson, Fraser’s Hill, Cameron Highlands, dan Butterworth, yang dinamakan sempena pegawai-pegawai British, KTM adalah cerminan identiti tempatan dan nasional.

Ia lahir daripada semangat sebuah Tanah Melayu yang sedang membina kemerdekaan dan kedaulatan. Menganggap bahawa istilah Tanah Melayu sudah tidak relevan bermakna kita seolah-olah menafikan naratif sejarah panjang rantau ini. Ada pihak mendakwa bahawa istilah Tanah Melayu tidak mencerminkan kepelbagaian kaum di Malaysia.

Namun, secara sejarah dan geografi, Tanah Melayu merujuk kepada Semenanjung ini. Ia bukan kenyataan untuk menolak sesiapa. Tanah Melayu secara literal bermaksud Land of the Malays. Apa salahnya mengiktiraf fakta itu?

Bukankah Thailand juga membawa maksud ‘tanah bagi orang Thai’, dan China ‘tanah bagi orang Cina’? Nama-nama seperti ini mencerminkan akar sejarah tanpa menafikan realiti masyarakat majmuk hari ini.

Apa yang lebih menghairankan adalah apabila usaha untuk mengembalikan nama asal kepada tempat-tempat yang diberi nama oleh penjajah turut mendapat tentangan.

Contohnya, apabila cadangan dikemukakan untuk menukar George Town kepada Tanjung Penaga, iaitu nama asal kawasan tersebut, ramai yang membantah dengan alasan ia akan “menghapuskan sejarah” atau “mengelirukan pelancong”.

Ini datang daripada golongan yang sama yang mahu nama KTM ditukar.

Di sini jelas kelihatan ironi: nama kolonial dipertahankan, manakala nama tempatan yang bersejarah pula mahu dipadamkan.

Jika kita benar-benar serius mahu mengangkat semula identiti nasional dan membebaskan diri daripada legasi kolonial, maka kita wajar bermula dengan nama-nama yang memang datang daripada era penjajahan.

Mengapa George Town, Butterworth, Fraser’s Hill dan Cameron Highlands masih kekal dalam Malaysia pasca-merdeka? Sekiranya semangat pembaharuan dan keterangkuman menjadi asas pertimbangan, maka nama-nama kolonial inilah yang lebih wajar dinilai semula terlebih dahulu.

Nama bukan sekadar satu bentuk rujukan geografi—ia mengandungi makna, kenangan dan lambang identiti. Keretapi Tanah Melayu bukan sekadar satu perkhidmatan pengangkutan; ia adalah simbol sejarah, penyatuan, dan kemajuan negara.

Menukarnya atas alasan ia “tidak moden” adalah satu bentuk pelupaan budaya dan warisan yang tidak wajar.

Justeru, kita tidak seharusnya tergesa-gesa mengubah nama yang lahir daripada akar sejarah sendiri semata-mata untuk kelihatan moden.

Jika KTM perlu ditukar kerana kononnya lapuk, maka gunakanlah piawaian yang sama terhadap semua nama — terutamanya nama yang ditinggalkan oleh penjajah.

Jika tidak, kita mungkin sedang memelihara nama-nama warisan kolonial sambil perlahan-lahan memadamkan jati diri kita sendiri.


* Artikel oleh Prof Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli. Beliau ialah Penyelaras, Unit Undang-Undang Antarabangsa, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, USIM; Felo Penyelidik Kanan, Asian Institute of International Affairs and Diplomacy (AIIAD), Universiti Utara Malaysia.

* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Galabet Portobet Deneme Bonusu Galabetguncelgirisi Galabetonlinecasino Galabetonlineslotoyna