Petros dan Petronas: Di persimpangan masa depan negara

 https://malaysiagazette.com/2025/05/19/petros-dan-petronas-di-persimpangan-masa-depan-negara/

 19 May 2025

Oleh Prof Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli

PENUBUHAN Petros oleh Kerajaan Negeri Sarawak pada tahun 2018 telah mengubah landskap petroleum negara. Di satu pihak, ia mencerminkan semangat autonomi yang diperjuangkan melalui Malaysia Agreement 1963 atau MA63. Di pihak lain pula, ia mengundang persoalan dari sudut perundangan persekutuan. Adakah tindakan ini selaras dengan Perlembagaan dan undang undang sedia ada?

Petronas ditubuhkan melalui Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan diiktiraf secara undang undang sebagai pemilik eksklusif segala hak terhadap petroleum di Malaysia. Seksyen 2 Akta tersebut jelas menyatakan bahawa semua hak dan pemilikan petroleum sama ada di darat atau di perairan diserahkan sepenuhnya kepada Petronas. Kedudukan ini telah diperakui oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Petronas melawan Kerajaan Negeri Sarawak pada tahun 2018.

Namun, Sarawak melihat bahawa hak-hak dalam MA63 yang menjadi asas penyertaan negeri itu dalam Malaysia tidak dipenuhi secara menyeluruh. Maka Petros ditubuhkan – bukan untuk menolak Petronas secara langsung, tetapi sebagai satu langkah menuntut kawalan lebih besar terhadap sumber asli negeri. Persoalannya, siapakah yang kini melebih lebih – Petronas atau Kerajaan Negeri Sarawak?

Dari sudut undang undang, Petronas berdiri di atas asas yang kukuh. Ia dilindungi oleh Perlembagaan dan undang undang Parlimen. Maka tindakan sebelah pihak oleh mana-mana negeri untuk mengambil alih hasil petroleum secara sepihak adalah bertentangan dengan prinsip keluhuran Perlembagaan.

Namun realiti politik dan persepsi awam juga tidak boleh diketepikan. Sarawak merasakan kekayaan negerinya tidak kembali secukupnya kepada rakyat tempatan. Di sini wujud ketegangan antara undang undang dan tuntutan moral. Satu perkara yang sering dibangkitkan ialah jurang pembangunan yang ketara antara Semenanjung dan Borneo, khususnya dari segi infrastruktur asas. Projek jalan raya, bekalan air, elektrik dan kemudahan sekolah di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak masih jauh ketinggalan.

Ini bukan semata mata disebabkan kurang peruntukan, tetapi juga akibat ketirisan, kelemahan tadbir urus dan rasuah yang membarah sejak sekian lama. Kes projek air di Sabah yang melibatkan kerugian lebih satu bilion ringgit, seperti didedahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada tahun 2016, menunjukkan bagaimana dana projek bekalan air luar bandar diseleweng oleh pegawai tinggi kerajaan negeri.

SPRM menemui wang tunai lebih RM100 juta disorok di rumah suspek, menjadikannya antara kes rasuah paling besar dalam sejarah negara. Selain itu, laporan Ketua Audit Negara mendapati kelemahan serius dalam pengurusan projek Pan Borneo Highway, termasuk kelewatan, lebihan kos dan kegagalan mematuhi syarat kontrak yang menyebabkan impak pembangunan tidak seperti yang dijanjikan. Dalam laporan audit 2019, didapati 28 pakej kerja jalan raya di bawah Pan Borneo Sabah mengalami kelewatan antara 5 hingga 310 hari.

Lebih mengejutkan, projek pembinaan sekolah daif di Sarawak yang diumumkan bernilai RM1 bilion pada tahun 2019 turut dikritik oleh Jawatankuasa Kira Kira Wang Negara kerana kelewatan pelaksanaan dan ketidaktelusan dalam proses pelantikan kontraktor. Begitu juga dengan beberapa projek bekalan elektrik luar bandar yang dilaporkan tidak berfungsi walaupun bayaran penuh telah dibuat.

Semua ini merupakan manifestasi kegagalan sistemik yang memerlukan pembetulan menyeluruh. Bukan hanya dari aspek jumlah peruntukan, tetapi bagaimana dana serta
peruntukan diurus, diaudit dan disampaikan kepada rakyat. Maka, pertikaian antara Petros dan Petronas bukan sekadar isu kuasa, tetapi peluang untuk merombak pendekatan pembangunan agar lebih telus, bebas ketirisan dan berkesan untuk semua negeri, terutamanya Sabah dan Sarawak yang masih memerlukan pembangunan asas yang menyeluruh.

Walaupun hasil negeri seperti Sarawak dan Sabah kelihatan lebih tinggi berdasarkan kutipan tertentu seperti cukai jualan negeri atas petroleum, dari segi sumbangan menyeluruh kepada ekonomi negara, negeri-negeri di Semenanjung Malaysia jauh lebih besar peranannya. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, Selangor menyumbang 25.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2023, diikuti oleh Kuala Lumpur (16.9 peratus) dan Johor (9.6 peratus). Sebaliknya, sumbangan Sarawak ialah 9.1 peratus, manakala Sabah hanya 5.5 peratus.

Hal ini selari dengan kepadatan penduduk, pusat perdagangan, aktiviti industri dan jumlah syarikat yang lebih tinggi di Semenanjung. Walaupun Sabah dan Sarawak kaya dengan sumber asli, struktur ekonomi mereka masih bergantung kepada sektor primer seperti komoditi dan minyak mentah, manakala negeri di Semenanjung telah lama beralih kepada industri berasaskan nilai tambah tinggi dan perkhidmatan. Maka dari sudut struktur ekonomi dan sumbangan kebangsaan, negeri-negeri di Semenanjung merupakan tunjang utama hasil dan kekuatan fiskal negara, walaupun tidak sering menyuarakan tuntutan berbentuk eksklusif atas sumbangan tersebut.

Negeri-negeri di Semenanjung tidak pernah mempertikaikan kemajuan yang dikecapi oleh Sabah dan Sarawak. Jika benar wujud rasa iri, sudah tentu negeri-negeri seperti Selangor, Pulau Pinang dan Johor telah lama menuntut supaya hasil kutipan cukai mereka dikekalkan untuk kegunaan sendiri. Sebaliknya, negeri-negeri ini terus menyumbang secara besar kepada ekonomi negara dengan penuh komitmen terhadap semangat persekutuan.

Kehadiran warga Sabah dan Sarawak di Semenanjung Malaysia pula telah menjadi sebahagian daripada landskap sosial dan ekonomi negara. Mereka menyumbang secara signifikan dalam pelbagai sektor seperti pembinaan, pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan, serta diterima baik oleh masyarakat setempat. Tidak terdapat sebarang laporan atau bukti yang menunjukkan wujudnya perasaan cemburu atau ketidakpuasan hati daripada rakyat Semenanjung terhadap kehadiran mereka.

Sebaliknya, rakyat dari Sabah dan Sarawak adalah saudara senegara yang memainkan peranan penting dalam membentuk Malaysia moden. Malah, orang-orang Semenanjung atau disebut ‘orang Malaya’ sangat bersenang hati dengan kepesatan ekonomi yang dialami bukan sahaja oleh Sarawak, tapi oleh semua negeri di Malaysia.

Diakui, di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ekonomi Sarawak berkembang pesat dan berdaya saing, didorong oleh visi yang jelas, pelaburan strategik, serta komitmen tinggi terhadap pembangunan mampan dan pendidikan. Industri petroleum negara memerlukan kerjasama, bukan persengketaan. Petronas dan Petros perlu duduk semeja bukan untuk mengukur kuasa, akan tetapi untuk membina model pengagihan yang adil dan selari dengan Perlembagaan. Jika konflik ini berterusan, bukan hanya rakyat Sarawak yang rugi – seluruh Malaysia akan menerima kesannya.

Apa yang lebih utama ialah mengekalkan semangat setiawakal persekutuan yang menjadi asas kelahiran negara ini. Dalam waktu yang sama, segala usaha untuk menuntut keadilan ekonomi harus disertai dengan komitmen untuk mengurangkan ketirisan, memperkukuh tadbir urus dan membanteras rasuah. Hasil petroleum yang besar pun tidak akan membawa makna jika terus bocor kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Malaysia dibina atas asas perkongsian, bukan persaingan antara wilayah. Semangat inilah yang perlu terus dipelihara jika kita mahu melihat masa depan industri petroleum negara berkembang secara mampan, berpaksikan integriti, dan bergerak seiring dalam satu semangat kebangsaan — di bawah satu bendera yang sama, dan naungan Perlembagaan yang satu.

Penulis adalah Ketua Penyelidik, International Law Unit, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan Felo Penyelidik, AIIAD, Universiti Utara Malaysia

Galabet Portobet Deneme Bonusu Galabetguncelgirisi Galabetonlinecasino Galabetonlineslotoyna