‘Tuntutan Malaysia berlandaskan UNCLOS’
‘Tuntutan Malaysia berlandaskan UNCLOS’ | Nasional | Berita Harian (bharian.com.my)
Mohd Nasaruddin Parzi [email protected]
10 April 2023
KUALA LUMPUR: Ketegasan Malaysia membenarkan syarikat petroleumnya, PETRONAS meneruskan projek cari gali minyak di Laut China Selatan, khususnya membabitkan kawasan yang turut dituntut China, satu keputusan tepat selain membuktikan pendudukan yang efektif negara di perairan itu.
Pakar undang-undang maritim antarabangsa, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli, berkata keputusan itu menunjukkan pendirian jelas Malaysia untuk kekal mengikuti Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS), dalam mendepani isu tuntutan maritim di perairan berkenaan.
“Walaupun bertindih dengan tuntutan China, kawasan ini adalah milik negara. Jadi tak salah untuk PETRONAS meneruskan aktiviti cari gali di situ kerana tuntutan Malaysia adalah berlandaskan UNCLOS, sebaliknya apa yang dituntut China itu tak selari dengan UNCLOS.
“Dalam undang-undang antarabangsa, sekiranya kita konsisten dengan tuntutan kita, ia menunjukkan pendudukan efektif kita di kawasan tuntutan. Ia juga cara untuk kita memperkukuh kedaulatan di kawasan yang kita tuntut itu,” katanya kepada BH.
Beliau berkata, dalam mendepani situasi sedemikian, Malaysia sudah bertindak sewajarnya dengan menggunakan perbincangan diplomatik sebagai jalan mengelak sebarang ketegangan yang dikhuatiri boleh wujud dari tuntutan dipertikai ini, sehingga menjejaskan hubungan dua hala antara Malaysia dan China.
“Ia bukan mahu menunjukkan kita terlalu berani, tetapi tindakan ini (bincang) tepat. Sebab, kita lihat China adalah satu kuasa besar dunia. Kita tak boleh berperang dengan China. Apa yang boleh kita buat adalah berbincang. Kita lihat sejarah, kalau kita berdiam pun, China langgar kawasan maritim kita, kita bising pun China langgar juga.
“Jadi cara terbaik adalah meneruskan perbincangan kita dengan China. Apabila kita berbincang, tak semestinya kita menyerahkan hak kedaulatan kita kepada China. Ia lebih kepada mendapatkan jalan penyelesaian, menjaga hubungan baik dengan China. Jika China mempunyai hubungan baik dengan kita, maka tak sewenang-wenangnya mereka akan melakukan apa-apa terhadap kita,” katanya.
Isu sudah lama berlarutan
Isu pertikaian dan tuntutan bertindih antara Malaysia serta negara ASEAN lain dengan China di Laut China Selatan sudah berlarutan sejak sekian lama dan ia kembali mencetuskan ketegangan, susulan tindakan negara tanah besar itu menghantar kapal pengawal pantai China (CCG) ke perairan berkenaan.
Dalam konteks kes Malaysia, ia terkait tindakan kapal tentera China itu yang dilihat semakin kerap berlegar berhampiran Beting Patinggi Ali, kawasan terletak di perairan Sarawak, yang menempatkan pelantar cari gali minyak milik PETRONAS.
Beting Patinggi Ali yang terletak dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia, kini dibangunkan projek lapangan gas mega yang bernilai bilion ringgit.
Mengulas lanjut, Mohd Hazmi yakin Malaysia mampu mendepani isu pertikaian tuntutan ini menerusi jalan diplomasi, tanpa perlu mewujudkan konflik besar, mengambil kira usaha dan tindakan yang dilaksana kerajaan sejak dulu hingga kini.
“Apabila kita buka ruang perbincangan, ini bukanlah menunjukkan Malaysia menyerahkan kedaulatan tetapi ia untuk memperkukuhkan kedaulatan. Isu ini sudah berdekad lama. Kalau ia dilihat mengganggu diplomasi, maka sudah lama ia ganggu diplomasi.
“Isu ini sekiranya dapat dikendalikan dengan baik di bawah pentadbiran kerajaan sekarang, isu Laut China Selatan ini bukan saja tidak akan merosakkan hubungan Malaysia dan China, malah merapatkan hubungan kedua-dua negara. Penting di sini, bagaimana Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan mengemudi negara dalam mendepani cabaran isu Laut China Selatan yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua,” katanya.
Elak pertelagahan
Sementara itu, Pakar Hubungan Antarabangsa, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed pula berkata isu Laut China Selatan berbangkit memandangkan wujud kepentingan Malaysia di situ dan perbincangan Anwar dengan pemimpin China perlu dilihat dari konteks komitmen kedua-dua pihak untuk mengelak sebarang pertelagahan yang boleh menjejaskan hubungan kedua-duanya.
“Sekiranya pertikaian ini terus berlanjutan ia tidak akan mencapai apa-apa kesudahan. Jadi Perdana Menteri melihat lebih elok diadakan perbincangan supaya dapat wujudkan situasi menang-menang antara Malaysia dan China.
“Kalau kita berterusan cuba memperjuangkan pertikaian ini seperti membawanya ke mahkamah antarabangsa, ia tidak akan dapat mencapai satu persetujuan atau penyelesaian secara keseluruhan kerana China tentunya tidak berpuas hati kerana mereka juga menuntut kawasan itu dan menyatakan mereka ada hak ke atasnya,” katanya.
Berdasar rujukan sejarah, tuntutan China ke atas perairan Laut China Selatan dibuat sejak 1946 semata-mata berpaksi atas faktor sejarahnya, termasuk Kepulauan Spratly yang menjadi perebutan enam negara antara China dan Taiwan dengan empat anggota ASEAN, iaitu Malaysia, Brunei, Vietnam dan Filipina.
Kepulauan Spratly mempunyai kawasan seluas 425,000 kilometer persegi dengan 30,000 pulau kecil manakala lebih daripada 750 pulau terumbu. Kedudukan Spratly yang strategik menyebabkan ia dituntut oleh keenam-enam negara berkenaan dengan tuntutan mereka agak bercampur-campur.
Ada yang menuntut wilayah maritim itu atas dasar sejarah masa lalu, penerokaan, penguasaan efektif, kedudukan geografi, EEZ dan pelantar benua.