Jerebu Rentas Sempadan: Adakah Malaysia mempunyai pilihan perundangan?
Fenomena jerebu menyelubungi Asia Tenggara sekali lagi, menjejaskan Malaysia, Singapura, Indonesia dan selatan Thailand dengan serius.
Kepulan asap berbahaya yang ditiup oleh angin dari kebakaran hutan di Pulau Sumatera dan Pulau Borneo kini berterbangan di ruang angkasa Malaysia, menghalang rakyatnya dari mendapatkan udara bersih.
Sejak 1997, fenomena yang tidak diundang ini menjengah Asia Tenggara terus menerus pada tahun 1999, 2005, 2006, 2009, 2013 dan terkini, pada tahun ini, 2015.
Apakah jalan perundangan yang ada bagi negara untuk menghentikan krisis asap ini?
Jerebu Asia Tenggara
Indonesia adalah penyumbang utama kepada fenomena pencemaran udara yang telah melemaskan Asia Tenggara. Teknik pembakaran hutan yang digunapakai oleh peladang-peladang di Pulau Borneo dan Pulau Sumatera adalah kaedah termurah dan cara paling cepat untuk membersihkan tanah bagi tujuan pertanian.
Kebakaran hutan dari teknik ini menghasilkan kepulan asap tebal yang memburuk dengan kurangnya taburan hujan di kawasan yang terjejas. Jerebu membawa banyak masalah kepada negara. Terdapat banyak rakyat Malaysia yang mengalami masalah kesihatan akibat lelah, jangkitan pernafasan serta iritasi kulit dan mata.
Memandangkan kanak-kanak adalah golongan yang paling rentan, sesi persekolahan telah beberapa kali ditangguhkan di beberapa negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia.
Industri pelancongan multi-billion Malaysia yang menyumbang 7% kepada ekonomi Malaysia setiap tahun boleh terjejas akibat jerebu. Usaha berjuta-juta Ringgit Malaysia mempromosikan negara menerusi kempen ‘Malaysia Truly Asia’ mungkin tidak membawa banyak pulangan sekiranya para pelancong berkeputusan untuk tidak bertandang ke sini akibat kualiti udara yang memburuk. Sinar matahari yang berkurangan akan membawa kesan negatif kepada hasil tanaman, manakala keadaan jerebu yang terlalu buruk boleh melambatkan projek pembinaan yang pesat dijalankan terutamanya di ibu kota Kuala Lumpur.
Jerebu ini bukan sahaja menjejaskan kemaslahatan manusia tetapi juga berupaya membawa kesan buruk kepada flora dan fauna di negara ini. Partikulat yang berbahaya di dalam asap jerebu boleh merosakkan rutin tahunan migrasi burung yang lari dari kesejukan musim dingin di Asia Timur.
Keadaan yang berkabut dan berasap tebal ini menyukarkan haiwan untuk mencari makanan di habitat mereka bagi melansungkan kehidupan. Pakar ekonomi berpendapat bahawa masalah jerebu yang berlaku kini tidak terlalu serius untuk membawa impak negatif terhadap keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Walaubagaimanapun, situasi ekonomi boleh terjejas teruk jika keadaan jerebu terus memburuk dan kabut asap ini kekal berterbangan di ruang angkasa Malaysia untuk beberapa minggu atau bulan yang mendatang. Sekiranya tiada tindakan yang diambil bagi mengatasi masalah ini, rakyat Malaysia tiada pilihan lain dan terpaksa menghirup udara yang terjejas akibat pencemaran berterusan ini.
Walaupun terdapat banyak aduan yang dibuat oleh pihak Malaysia dan Singapura, Indonesia masih gagal untuk menghentikan ‘fiesta’ asap ini, malah ianya menjadi semakin serius setiap tahun.
Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla telah menegur Malaysia dan Singapura kerana tidak bersyukur atas udara bersih yang dihasilkan oleh hutan tebal di Pulau Borneo dan Pulau Sumatera. Ini adalah suatu pernyataan tidak diundang yang dibuat oleh seorang ahli politik yang disegani di negara jiran itu.
Indonesia pada awalnya enggan menerima bantuan luar untuk memadamkan sehinggalah dalam waktu terdekat ini. Malaysia telah membelanjakan lebih dari RM1.5 juta dalam usaha untuk memadamkan api di kawasan yang terjejas bagi mengembalikan langit biru di angkasa Malaysia Presiden Joko Widodo mengesahkan bahawa Indonesia memerlukan jangka waktu tiga tahun untuk mengatasi masalah ini.
Jalan Perundangan Untuk Malaysia
Memandangkan jerebu sudahpun menjadi fenomena tahunan, Malaysia patut mencari jalan perundangan yang sesuai bagi mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang terlibat.
Di bawah undang-undang tort, seseorang pemilik rumah yang menyebabkan kebakaran secara sengaja atau tidak sengaja akan bertanggungawab terhadap sebarang kerugian dialami jiran-jirannya.
Doktrin yang sama telah diperkembangkan di bawah undang-undang antarabangsa seperti diputuskan di dalam kes 1941 Trail Smelter Dispute. Kes ini melibatkan sebuah kilang pelebur di Kanada, yang mana asap yang dihasilkan oleh kilang ini tersebar melangkaui sempadan ke dalam wilayah Amerika Syarikat, menyebabkan pencemaran udara yang dashyat di ruang angkasa negeri Washington.
Tribunal antarabangsa dalam kes ini mengesahkan bahawa Kanada bertanggungjawab terhadap pencemaran ini dan telah diarahkan untuk membayar gantirugi. Di bawah undang-undang antarabangsa, sesebuah negara adalah bertanggungjawab untuk memelihara keselamatan rakyat negara-negara lain sewaktu berada di wilayahnya. Dalam Kes Corfu Channel 1949, Albania telah gagal untuk memberi notis kepada kapal perang British yang melayari wilayah lautnya tentang adanya periuk api yang ditempatkan diperairannya.
Kegagalan ini menyebabkan kematian dan kecederaan kepada angkatan tentera British apabila kapal-kapal perang mereka melanggar periuk api tersebut. Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengarahkan Albania untuk membayar gantirugi kepara kerajaan British atas kemusnahan dan kecederaan terhadap pihak tenteranya. Kes Penambakan Tanah yang melibatkan Malaysia dan Singapura adalah contoh yang baik untuk menjelaskan kedudukan undang-undang antarabangsa terkait soal perlindungan alam sekitar.
Pada April 2002, Malaysia telah memfailkan protes terhadap kerja-kerja penambakan Singapura di sekitar Pulau Tekong dan Pulau Ubin, dua pulau kecil di Selat Johor dengan alasan projek ini telah menyebabkan pencemaran dan kerosakan ekologi terhadap perairan Malaysia. Pada tahun 2003, Malaysia memulakan prosiding terhadap Singapura ke Tribunal Antarabangsa Undang-undang Laut (ITLOS) untuk membendung Singapura dari meneruskan kerja-kerja penambakan. Namun begitu, ITLOS mengesyorkan untuk kedua-dua negara bekerjasama dan membuat perundingan dengan pakar bebas untuk menjalankan penyelidikan untuk menentukan implikasi kerja-kerja penambakan itu.
Kedua-dua negara disarankan untuk mengesyorkan kaedah-kaedah bagi mengatasi implikasi buruk projek tersebut terhadap alam sekitar, sekiranya ada. Ketiga-tiga kes antarabangsa ini menunjukkan bahawa undang-undang antarabangsa tidak memperakui mana-mana negara untuk melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kesejahteraan negara-negara lain.
Tidak seperti tindakan undang-undang terhadap seseorang individu, sesebuah negara berdaulat seperti Indonesia tidak boleh diseret ke mahkamah oleh mana-mana entiti sekalipun melainkan dengan persetujuan negara tersebut.
Menangani Masalah Jerebu
Pada tahun 1999, bekas Setiausaha Agung ASEAN, Rodolfo Severino in 1999 mengatakan bahawa negara anggota ASEAN tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana negara anggota yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran melangkaui sempadan. ASEAN berpegang kepada prinsip non-intervention (tiada campur tangan) dalam hal domestik sesebuah negara.
Maka, kaedah terbaik dalam menanggapi isu ini adalah melalui kaedah diplomatik – ‘the ASEAN way’ – iaitu menerusi perbincangan bilateral atau menerusi forum serantau. Pada 10 Jun 2002, ASEAN bersepakat untuk mewujudkan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Melangkaui Sempadan. Indonesia adalah negara terakhir untuk mengesahkan perjanjian ini pada tahun 2014.
Perjanjian ini menyediakan asas kerjasama antara negara-negara ASEAN sekiranya berlaku penularan pencemaran akibat jerebu. Selari dengan the ASEAN way, Perjanjian ini tidak mengadakan ruang untuk membolehkan negara-negara anggota untuk menuntut gantirugi dari negara yang menyebabkan tragedi jerebu ini. Berdasarkan tragedi jerebu yang melanda ASEAN secara terus menerus selama hampir 2 dekad ini, tidak dapat dipastikan bahawa Perjanjian ini berkesan dalam menangani krisis pencemaran ini.
Tidak dapat dinafikan bahawa fenomena jerebu sekarang ini bukan lagi sekadar masalah ASEAN tetapi telah melarat menjadi krisis sejagat. Laporan terkini yang dikeluarkan oleh Institut Sumber Dunia (World Resources Institute) menyatakan bahawa jumlah gas rumah hijau yang dihasilkan oleh kebakaran hutan Indonesia adalah lebih banyak dari keseluruhan ekonomi Amerika Syarikat yang boleh memacu kesan pemanasan global.
Selain itu, kebakaran hutan secara besar-besaran ini telah banyak memusnahkan flora dan fauna Indonesia, salah sebuah negara yang diiktiraf memiliki kepelbagaian bio yang paling kaya di dunia. Sebagai sebuah negara anggota Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD), Indonesia berperanan untuk memelihara dan memulihara kepelbagaian bionya dan berusaha melestarikannya. Kebakaran hutan secara tidak terkawal di Borneo dan Sumatera jelas menunjukkan Indonesia tidak melaksanakan tanggungjawabnya sebagaimana yang disarankan oleh CBD.
Kesimpulan
Sememangnya Indonesia telah membuat permohonan maaf kepada ASEAN berikutan kejadian jerebu ini. Walaubagaimanapun, ia tidak membawa apa-apa kesan positif yg membantu mengurangkan krisis pencemaran ini. Adalah tidak wajar bagi Jakarta untuk menunggu asap jerebu untuk menjengah ke Pulau Jawa atau kota-kota utama Indonesia sebelum mereka mula berkeputusan untuk mengambil tindakan yang lebih tegas. Jangka masa tiga tahun adalah terlalu lama buat Malaysia dan Singapura.
Lantas, di manakah semangat ASEAN ‘memakmurkan tetangga’ (prosper thy neighbour)? Setiap daripada kita memerlukan dan mempunyai hak kepada udara dan persekitaran yang bersih dan nyaman. Sekiranya jerebu berpanjangan, komuniti global wajar mempertimbangkan pelaksanaan tekanan diplomatik ke atas Indonesia, memandangkan asap jerebu yang menebal meninggalkan implikasi negatif bukan sahaja kepada Asia Tenggara, malah dunia keseluruhannya.
Selain memudaratkan lagi pemanasan global, kebakaran hutan ini telah memusnahkan kawasan-kawasan yang kaya dengan sumber alam. Ternyata Malaysia tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Indonesia. Selain daripada kesungguhan berterusan kerajaan Jokowi, langkah terbaik bagi Malaysia dan negara ASEAN lain dalam membanteras dilema jerebu adalah dengan memastikan perkara-perkara yang termaktub dalam Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Melangkaui Sempadan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli dan Dr. Amalina Ahmad Tajudin adalah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia. Dr. Hazmi juga adalah profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia.