Timor-Leste: Permata Asia Tenggara yang dilupakan

https://www.astroawani.com/gaya-hidup/timorleste-permata-asia-tenggara-yang-dilupakan-117042

Mohd Hazmi Mohd Rusli

Timor-Leste: Permata Asia Tenggara yang dilupakan
Timor-Leste: Pemandangan pantai berdekatan Laga

Pulau Timor terletak di sudut timur Kepulauan Melayu dan dikongsi oleh dua negara berdaulat – Indonesia dan Timor-Leste.Sejarah pra-penjajahan Pulau Timor tidak jelas – kecuali ianya pernah menjadi sebahagian dari pengaruh Majapahit dan pernah ditadbir oleh Kerajaan Ambeno yang berpusat di Oecussi.

Gambar 1: 'Bushland' di Timor-Leste yang seakan-akan 'outback' di Australia.
Gambar 1: ‘Bushland’ di Timor-Leste yang seakan-akan ‘outback’ di Australia.

Dengan penduduk lebih 1 juta, Timor-Leste ialah negara termuda di Asia yang wujud pada tahun 2002 setelah berhasil mendapatkan kemerdekaan dari Indonesia.

Timor-Leste pernah mengalami zaman kegelapan di bawah penjajahan Portugis bermula 1515 dan kemudiannya menempuh zaman kependudukan Indonesia pada tahun 1974.Timor-Leste adalah permata tersembunyi dikelilingi lautan biru dan perbukitan seluas mata memandang yang jarang sekali dikunjungi para pelancong.

Ibu negaranya, Dili, hanya boleh dicapai secara penerbangan terus dari tiga bandaraya – Singapura, Denpasar (Bali) dan Darwin.Kaedah termurah untuk ke sana dari Kuala Lumpur adalah untuk terbang ke Bali dan dari sana, menyertai penerbangan NAM/Sriwijaya Air atau Citilink Airlines dengan kos penerbangan pergi-balik berjumlah RM1200.

Rakyat Malaysia tidak memerlukan visa untuk berkunjung ke Timor-Leste tetapi perlu membayar visa upon arrival berjumlah US$30 di Lapangan Terbang Antarabangsa di Dili. Kerajaan Timor kini sedang berusaha mempromosikan bahasa Portugis sebagai bahasa kebangsaan negara Timor-Leste kerana inilah bahasa perjuangan menentang Indonesia.

Walaubagaimanapun, generasi muda Timor-Leste menganggap bahasa ini tidak lebih sebagai sebuah bahasa kolonial, sepertimana Indonesia melihat bahasa Belanda dan Filipina melihat bahasa Sepanyol.Selepas 14 tahun merdeka, bahasa Portugis hanya dipertuturkan oleh 5% rakyatnya dengan Bahasa Indonesia masih difahami oleh majoriti rakyat Timor.

Bahasa Indonesia, sehingga kini digunakan sebagai bahasa perdagangan dan bahasa ilmu di peringkat universiti selain bahasa Tetum, bahasa ibunda kebanyakan masyarakat Timor.


Pensyarah Pelawat

Kali pertama saya berkunjung ke Timor-Leste adalah pada Mei 2015 atas undangan Universidade Nacional Timor Lorosa’e (UNTL) dan Universidade De Paz (UNPAZ), kedua-duanya terletak di Dili.Kunjungan ini dibiaya sebahagian oleh pihak penganjur dan saya telah diminta untuk menyampaikan ceramah terkait soal perbatasan di antara Australia dan Timor-Leste di Laut Timor.

Gambar 2: Para mahasiswa Universidade Nacional Timor Lorosa’e (UNTL) di Dili, Timor-Leste
Gambar 2: Para mahasiswa Universidade Nacional Timor Lorosa’e (UNTL) di Dili, Timor-Leste

Lawatan kedua saya adalah pada September 2016, di mana saya telah membuat kunjungan hormat kepada Rektor Universidade Dili (UNDIL), Senhor Estevao Da Costa Belo dan menyampaikan ceramah umum bertajuk ‘Should Timor-Leste become a member of ASEAN?’ di UNTL.

Saya amat kagum dengan penyertaan aktif para pelajar semasa sesi soal-jawab walaupun rata-rata mereka kurang fasih bertutur dalam bahasa Inggeris.Para pelajar mengambil kesempatan sewaktu ceramah ini untuk bertukar pendapat, ilmu dan sudut pandang terutamanya dalam isu pertikaian maritim di Laut China Selatan dan di Laut Timor.

Gambar 3: Para mahasiswi Universidade Nacional Timor Lorosa’e (UNTL) di Dili, Timor-Leste
Gambar 3: Para mahasiswi Universidade Nacional Timor Lorosa’e (UNTL) di Dili, Timor-Leste

Tidak seperti universiti di Malaysia dengan kampus luas yang dihiasi lanskap indah, universiti di Timor-Leste serba sederhana dan tidak semuanya dilengkapi kemudahan dan infrastruktur yang memadai.Walaupun begitu, mahasiswa Timor bersyukur dengan apa yang ada dan bersiap sedia untuk menuntut ilmu demi membina masa depan yang lebih baik untuk negara mereka yang tercinta ini.

Selain itu, saya juga berkesempatan bertemu dengan ketua komuniti Muslim di Timor-Leste, Pak Arif Abdullah Sagran yang dengan bermurah hati menjadi hos saya selama saya berada di Dili.Pak Arif adalah seorang figura yang terkenal dan sangat dihormati terutama sekali di kalangan masyarakat Muslim.


Dari Dili ke Lospalos

Pada tahun 2015, saya hanya bersiar-siar di sekitar kota Dili dan berkunjung ke Maubara, terletak 50 km dari Dili, pekan yang memiliki sebuah kota lama Portugis.Tidak seperti bandaraya Asia Tenggara yang lain seperti Kuala Lumpur, Bangkok dan Jakarta, Dili adalah sebuah bandar kecil dengan penduduk berjumlah 250,000 orang.

Penginapan paling murah di Dili boleh didapatkan dengan harga US$30 dan yang paling mahal ialah US$200 atau lebih.Matawang Timor-Leste ialah Dolar Amerika dan ya, Dili ialah sebuah bandar yang mahal.

Untuk lebih mengenali Timor-Leste, saya telah membuat perancangan untuk ke Lospalos yang terletak lebih kurang 220 km ke timur Dili.Seorang mahasiswa UNTL, Senhor Da Costa Acacio dengan bermurah hati telah bersetuju untuk membawa saya ke sana dengan motosikalnya.

Gambar 4. Rumah Adat Timor-Leste di Lospalos
Gambar 4: Rumah adat Timor-Leste di Lospalos

Lospalos ialah kota tradisi Timor Leste yang sarat dengan rumah adat suku Fataluku – sebuah rumah bersenibina tradisional yang disokong tiang-tiang tinggi berbumbungkan sabut kelapa – rumah adat kebanggaan Timor-Leste.Sebagai sebuah negara muda, Timor-Leste masih tidak dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur seperti jaringan jalan raya yang diturap dengan baik menghubungi pekan-pekan dan desa-desa di sepanjang negara pulau ini.

Pihak Portugis tidak membina banyak kemudahan dan tidak mempedulikan pembangunan Timor-Leste sepanjang 400 tahun pentadbiran kolonialnya.

Gambar 5: Keindahan peninggalan Portugis di Baucau, Timor-Leste
Gambar 5: Keindahan peninggalan Portugis di Baucau, Timor-Leste

Sewaktu Portugis menakluk Melaka, penguasa Portugis tidak berani keluar dari tembok A Famosa kerana takut akan serangan kuasa-kuasa Melayu pada ketika itu seperti Aceh dan Johor.Peninggalan Portugis di Malaysia hanya dapat dilihat di Melaka.

Manakala, di Timor-Leste, peninggalan penjajah Portugis dapat dilihat di hampir kesemua pekan-pekan sepanjang perjalanan ke Lospalos terutamanya di Dili, Baucau, Lautem, Com dan Lospalos.Walaupun Indonesia dikenang atas keganasan penaklukannya pada tahun 1974, pemerintah Indonesia jugalah yang membangunkan Timor-Leste dengan pesat – sesuatu yang tidak berlaku sepanjang 4 abad pemerintahan Portugis.

Dalam jangka masa pendek 25 tahun, pentadbiran Suharto telah membina jaringan jalan raya, lapangan terbang, sekolah-sekolah, universiti, hospital dan berjaya mempromosikan Bahasa Indonesia sebagai bahasa pemersatuan dikalangan masyarakat Timor.Bahasa Indonesia sehingga kini digunakan secara meluas dan dipertuturkan dengan fasih oleh masyarakat Timor walaupun Timor-Leste kini bukan lagi bagian dari Indonesia.

Gambar 6: Jalan utama dari Dili ke Lospalos, Timor-Leste
Gambar 6: Jalan utama dari Dili ke Lospalos, Timor-Leste

Usaha kerajaan Indonesia pimpinan Presiden Suharto ini sangat saya kagumi – suatu usaha yang Malaysia sendiri telah gagal menjayakannya – tidak semua rakyat Malaysia boleh berbahasa Malaysia dengan baik walaupun telah merdeka hampir 60 tahun.

Saya dan Senhor Costa meninggalkan Dili untuk ke Lospalos pada jam 4 pagi pada 10 September 2016.Jalan utama dari Dili menuju Lospalos kesemuanya diturap namun tidak dikelola dengan baik terutamanya dari Baucau ke Laga.Jalan utamanya ada yang rosak dan berlubang membuatkan para pengguna jalan raya terpaksa memandu atau menunggang selama 8 jam untuk perjalanan yang berjarak hanya 220 km.

Jarak di antara Dili ke Lospalos adalah lebih kurang jarak di antara Kuala Lumpur ke Kuala Kangsar, Perak.Walaubagaimanapun, pemanduan di atas Lebuhraya PLUS memungkinkan jarak 220 km dapat ditempuh hanya dalam masa 2 jam 30 minit.Jalan dan lebuhraya berkualiti adalah penting dalam memacu kemajuan ekonomi terutamanya untuk negara muda yang membangun seperti Timor-Leste, sebagaimana infrasktruktur ini memacu pertumbuhan Malaysia.

Gambar 7: Jalan utama dari Dili ke Lospalos (bahagian yang rosak)
Gambar 7: Jalan utama dari Dili ke Lospalos (bahagian yang rosak)

Pemandangan sepanjang perjalanan adalah sangat indah dengan pantai pasir memutih yang berbatu-batu panjangnya, tebing tinggi yang memukau dan tanah bushland mirip seperti yang ada di Australia.Walaubagaimanapun, lanskap semulajadi yang indah ini punya sejarah hitam yang pahit, kerana ianya pernah menyaksikan pertumpahan darah dan keganasan yang tercetus di antara tentera Indonesia dan pejuang pemisah.

Banyak kampung-kampung yang dibakar hangus sewaktu kependudukan Indonesia pada tahun 1975 menyebabkan banyak rakyat Timor yang tidak berdosa terpaksa melarikan diri ke kawasan pedalaman.Gunung Matebian, puncak kedua tertinggi di Timor-Leste pernah menjadi medan utama perjuangan puak pemisah menentang Indonesia.

Gambar 8: Pemandangan berlatar-belakangkan Gunung Matebian, Timor-Leste
Gambar 8: Pemandangan berlatar-belakangkan Gunung Matebian, Timor-Leste

Kehidupan adalah sukar pada waktu itu tanpa makanan dan air bersih yang mencukupi. Banyak masyarakat Timor kehilangan harta benda dan orang tersayang.

Setelah menunggang selama 4 jam, kami tiba di Baucau, sebuah bandar yang terletak di pertengahan jalan di antara Dili dan Lospalos.Bandar kolonial ini terletak di perbukitan yang menghadap Selat Ombai-Wetar, sarat dengan peninggalan Portugis.Zaman pemerintahan Portugis juga bukanlah zaman yang menyenangkan – banyak orang Timor dipaksa menjadi buruh paksa untuk pihak penjajah.

Kewujudan banyak tinggalan Portugis berupa penjara dan balai polis adalah manifestasi zaman yang sukar itu.Kami tiba di Com pada jam 1 tengahari dan pemandangan pantainya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Gambar 9: Pemandangan pantai di Com, Timor-Leste
Gambar 9: Pemandangan pantai di Com, Timor-Leste

Desa ini adalah sebuah destinasi pelancongan yang tersembunyi terletak hampir di penghujung timur Pulau Timor.Benar, dengan airnya yang bening dan jernih serta pantai memutih yang berbatu-batu panjangnya, Timor-Leste mempunyai potensi besar untuk menjadi destinasi terkenal seantero Asia Tenggara seperti Bali, Langkawi dan Phuket.Namun, kekurangan kemudahan asas dan keadaan infrastruktur yang tidak memuaskan menyulitkan perkembangan industri ini dan kerajaan Timor-Leste perlu mengubah keadaan ini.Destinasi terakhir kami adalah di Lospalos, pekan yang terletak di lembah tinggi di perbukitan yang bersuhu sekitar 22 darjah Celcius.

Tiada yang istimewa di Lospalos, kecuali ianya adalah pusat kebudayaan masyarakat Fataluku dan banyak rumah adat orang Timor dibina di sini dan dapat dilihat di sepanjang jalan menuju pekan ini.Kerajaan Indonesia pernah mempromosikan rumah adat ini kerana keunikannya sewaktu zaman integrasi Timor-Leste bersama Indonesia.Walaubagaimanapun, keadaan tidak lagi seperti ini dan rumah adat yang dibina banyak yang sudah usang dan tidak dikelola, tetapi masih kekal unik dan cantik.

Kami bertolak ke Dili pada jam 6 petang dan perjalanan pulang adalah suatu pengembaraan yang mencabar.Tidak seperti perjalanan di atas lebuhraya di Malaysia, keadaan jalan di Timor-Leste yang buruk serta binatang liar yang menyeberang jalan secara tiba-tiba menjadikan perjalanan pulang sangat berisiko tinggi.Kami menemukan beberapa kejadian kemalangan sepanjang perjalanan melibatkan pelanggaran motosikal dengan binatang buas yang mengakibatkan penunggang motosikal tersebut cedera agak parah.Kami juga menyaksikan beberapa kenderaan rosak sepanjang perjalanan pulang yang tersadai di tepi jalan raya. Setelah perjalanan 9 jam yang memenatkan, kami tiba di Dili pada jam 3 pagi 11 September 2016.

Walaupun perjalanan ini adalah perjalanan yang sukar, ia adalah suatu pengalaman yang tidak akan saya lupakan kerana saya dapat lihat Timor-Leste yang sebenar.Jasa Senhor Costa yang mengiringi saya sepanjang perjalanan amat saya hargai.

Gambar 10: Pemandangan pantai yang indah berdekatan Laga, Timor-Leste
Gambar 10: Pemandangan pantai yang indah berdekatan Laga, Timor-Leste

Membina Masa Depan yang Lebih Baik

Negara muda yang indah ini mengingatkan saya kepada negara kita sendiri, Malaysia, ketika zaman awal kemerdekaan.Pihak British tidak meninggalkan kita dengan banyak kemajuan setelah mereka pulang ke Britain dengan hasil kekayaan bumi kita.Penjajah tetap penjajah.Kita sendiri, rakyat negara ini, yang bersama-sama berusaha keras membina Malaysia yang lebih baik.

Benar, Malaysia telah mengalami zaman kepesatan ekonomi hanya dalam masa 59 tahun setelah kemerdekaan jika dibanding dengan 171 tahun di bawah pemerintahan British.Bagi kebanyakan orang Timor, Malaysia adalah sebuah negara membangun yang wajar dicontohi.Pihak Portugis yang menjarah Timor-Leste selama 400 tahun tidak meninggalkan bekas tanah jajahannya ini dengan banyak pembangunan.

Pemerintah dan rakyat Timorlah yang harus mengorak langkah membina Timor-Leste yang lebih maju dan lebih layak didiami oleh rakyatnya sendiri.Timor-Leste akan sentiasa berada dekat di hati saya.Dengan kekayaan alam yang melimpah ruah dan keindahan alam semulajadinya, Timor-Leste adalah sebuah permata timur yang dilupakan.


Mohd Hazmi bin Mohd Rusli (Ph. D) ialah seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang dan penyelidik bersekutu di Asia-Africa Legal Consultative Organization, New Delhi, India.

Galabet Portobet Deneme Bonusu Galabetguncelgirisi Galabetonlinecasino Galabetonlineslotoyna