Apabila kualiti para ahli akademik negara dipukul rata…
Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli, Dr Fareed Mohd Hassan
Februari 18, 2021 09:00 MYT
BARU-BARU ini, heboh diperkatakan mengenai isu jurnal pemangsa. Perkara ini terjadi akibat tersebarnya laporan bahawa Malaysia adalah negara keempat paling banyak penerbitan dalam jurnal-jurnal sebegini.
Akibatnya, para akademik Malaysia pun dimangsakan, dan tidak keterlaluan, ada yang beranggapan secara pukul rata, bahawa semua ahli akademik Malaysia tidak berkualiti, dan mengambil jalan mudah untuk menaiki tangga kerjaya di universiti-universiti yang mana mereka sedang berkhidmat.
Sebelum ini, heboh apabila seorang tokoh ulung akademik negara, Tun Arshad Ayub mengatakan bahawa 2,500 profesor di Malaysia tiada kualiti.Isu-isu yang silih berganti ini akhirnya membuka ruang untuk masyarakat melemparkan kata-kata kurang baik seolah-olah ahli akademik di negara tidak berkualiti.
Disebalik kata-kata nista ini, mungkin ramai yang terlupa bahawa ahli-ahli akademik negara ini telah melakar kejayaan bukan sahaja didalam negara tetapi juga di persada dunia.Berikut adalah antara pencapaian-pencapaian akademik negara yang diakui negara serantau dan dunia:
(a) Berdasarkan survei QS World University Rankings, Malaysia memiliki lima universiti terbaik di ASEAN di kedudukan 10 terbaik, melebihi jumlah universiti dari negara-negara lain di rantau ini pada tahun 2020;
(b) Survei yang sama juga, QS World University Rankings mengiktiraf 10 universiti di Malaysia sebagai antara 110 universiti terbaik di Asia pada tahun 2020;
(c) Pada tahun 2019, Forum Ekonomi Sedunia (WEF) telah mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai tahap persaingan lebih baik dalam bidang pendidikan daripada keseluruan 141 buah negara di seluruh dunia. Malaysia menduduki tangga ke-19 mendahului beberapa negara maju yang tersohor seperti United Kingdom (UK), Perancis dan Jepun;
(d) Ramai pensyarah tempatan yang kepakaran mereka diiktiraf di seluruh dunia menerusi pelantikan sebagai profesor pelawat, felo akademik serta memegang jawatan penting di dalam organisasi di peringkat antarabangsa;
(e) Ramai anak tempatan yang mendapat pendidikan tinggi di dalam negara ini berkhidmat di pelbagai sektor di dalam dan luar negara;
(f) Ramai juga anak tempatan yang mendapat pendidikan tinggi awal dari universiti tempatan dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di universiti-universiti terkemuka dunia.
(g) Ramai pelajar-pelajar antarabangsa yang datang ke negara ini untuk menimba ilmu telah pulang dan berkhidmat di dalam pelbagai sektor di dalam bidang masing-masing.
Janganlah dek kerana satu laporan mengenai jurnal pemangsa, semua ahli akademik Malaysia dipukul rata.
Ini akan memberikan kesan buruk bukan sahaja kepada sistem pendidikan negara, universiti-universiti tempatan, pensyarah-pensyarah malah para mahasiswa sendiri.
Perlu diingat mereka yang berjaya pada hari ini yang berkhidmat di dalam industri juga pernah suatu ketika dahulu menimba ilmu di universiti-universiti tempatan.Apabila para akademik tempatan diperlekehkan oleh segelintir pihak industri, ini samalah juga mereka ini memperlekehkan asal-usul pendidikan mereka, terutama yang belajar di universiti-universiti tempatan.
Jika isu seperti ini timbul lagi di kemudian hari, diharapkan para akademik terutama sekali profesor-profesor yang lebih kanan dapat sama-sama mempertahankan profesion mulia ini daripada diperkotak katikkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.Hanya para akademik sahaja yang memahami perit jerih pengorbanan dalam menempuhi kerjaya sebagai seorang pendidik.
Hanya jauhari sahaja yang mengenal manikam.
*Profesor Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli dan Dr. Fareed Mohd Hassan adalah pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.
**Dr. Mohd Hazmi juga adalah profesor pelawat di Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia. Dr Fareed adalah graduan Doktor Falsafah (PhD) dari School of Law, University of Aberdeen, Scotland.
***Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.