Laluan Suez-Selat Melaka: Kalau ditutup punahlah dunia

Laluan Suez-Selat Melaka: Kalau ditutup punahlah dunia | Astro Awani

Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli, Dr Izyan Munirah Mohd Zaideen

Laluan Suez-Selat Melaka: Kalau ditutup punahlah dunia
Sekiranya Selat Melaka ditutup untuk pelayaran, kesannya sama sahaja seperti apa yang berlaku dengan Terusan Suez sekarang ini. – Gambar Fail AFP

LALUAN Terusan Suez-Selat Melaka adalah laluan perkapalan yang terpenting di dunia.

Laluan ini merupakan jalan maritim terdekat menghubungkan Eropah dan Asia Timur, luar biasa mustahaknya dalam memastikan ekonomi global berjalan lancar.

Tragedi Kapal MV Ever Given, kapal berbendera Panama yang tersadai di Terusan Suez baru-baru ini akibat ribut pasir telah membuka banyak mata tentang kepentingan unggul laluan perkapalan ini.

Akibat daripada peristiwa ini, kapal-kapal lain tidak dapat melewati jalan maritim ini dan terpaksa mengelilingi laluan Tanjung Harapan di penghujung selatan Benua Afrika yang pastinya alur perkapalan alternatif dengan penambahan jarak pelayaran sebanyak 15, 000 batu berbanding penggunaan Terusan Suez.

Ini lantas meningkatkan kos perkapalan sedunia sebanyak AS$450,000 bagi sesuatu pelayaran biasa, menurut penganalisis syarikat perkapalan Braemar ACM yang berpengkalan di Singapura.Sebagai contoh, jarak pelayaran dari Suez ke Amsterdam, Belanda dengan kapal berkelajuan 12 knots adalah lebih kurang 13 hari manakala jarak tempuh dari Tanjung Harapan ke Amsterdam adalah 41 hari.

Bayangkan sekiranya perkara yang sama berlaku di laluan tersempit Selat Melaka dan Selat Singapura di penghujung selatan Semenanjung Melayu.Sudah pasti ekonomi dunia akan terencat membawa implikasi buruk kepada segenap lapisan masyarakat.Sejak dari zaman penguasaan kerajaan-kerajaan Melayu Nusantara, laluan perkapalan utama merentasi Kepulauan Melayu adalah menerusi Selat Melaka ataupun Selat Sunda yang terletak di antara Pulau Jawa dan Pulau Sumatera.

Apabila Belanda merebut kota Jayakarta pada tahun 1619 daripada Kesultanan Banten, pihak Belanda banyak bergantung kepada jalan perdagangan menerusi Selat Sunda yang terletak tidak jauh dari ibu kota Hindia Timur Belanda, yang dinamakan semula sebagai Batavia.Pihak British pula berusaha mendominasi Semenanjung Melayu dengan menguasai Pulau Pinang pada tahun 1786, Singapura pada tahun 1819 dan Melaka pada tahun 1824.

Apabila pihak British bertapak di Singapura pada tahun 1819, mereka telah mentransformasikan pulau tersebut daripada sebuah kampung nelayan yang kecil kepada sebuah pelabuhan utama di rantau Asia.Pembukaan Terusan Suez pada tahun 1869 secara langsung memberikan kelebihan kepada pelabuhan Singapura kelolaan British kerana Selat Melaka kembali menjadi laluan utama perdagangan.

Laluan Suez-Selat Melaka sehingga kini kekal sebagai laluan utama paling dekat, cepat dan jimat menghubungkan Timur-Barat.Usaha British dalam menguasai negeri-negeri Selat tidaklah sia-sia akhirnya.

Perjalanan dari Aden ke Yokohama dengan kapal berkelajuan 12.5 knot akan mengambil masa hampir 22 hari menerusi Selat Melaka dan Selat Singapura.Sekiranya Selat Melaka dan Singapura tertutup atau terganggu, kapal-kapal terpaksa mengambil laluan alternatif melintasi Selat Sunda yang akan mengambil masa hampir 24 hari dari pelabuhan pelepasan dan pelabuhan ketibaan yang sama.Laluan menerusi Selat Lombok-Makassar pula akan mengambil masa lebih kurang 25 hari.

Figura 1. Laluan Selat Melaka dan Singapura berbanding Sunda serta Lombok-Makassar (Sumber:  Forbes, 2004)
Figura 1. Laluan Selat Melaka dan Singapura berbanding Sunda serta Lombok-Makassar (Sumber: Forbes, 2004)

Sekiranya alur laut Asia Tenggara ditutup daripada pelayaran antarabangsa, kapal-kapal yang ingin belayar dari Eropah ke Asia Timur jauh harus membuat lencongan menerusi laluan Selat Bass, selat yang memisahkan Benua Australia dengan Pulau Tasmania, mengelilingi Australia.

Lencongan yang jauh ini bakal memberikan kesan yang cukup besar untuk jarak pelayaran di antara Barat dan Timur, seperti yang boleh dilihat menerusi Figura 2 di bawah:

Figura 2. Jarak Pelayaran Kuwait-Yokohama melalui Melaka-Singapura dan Bass.  (Sumber: Rusli, 2012)
Figura 2. Jarak Pelayaran Kuwait-Yokohama melalui Melaka-Singapura dan Bass. (Sumber: Rusli, 2012)

Kapal dagang MV Ever Given yang membentuk halangan di Terusan Suez telah mengkucar kacirkan aliran perdagangan dunia. Perkara yang sama akan berlaku sekiranya Selat Melaka ditutup untuk pelayaran antarabangsa.

Sebagai negara-negara anggota Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Undang-undang Laut Antarabangsa (UNCLOS), Malaysia, bergandingan dengan Indonesia serta Singapura perlu memastikan Selat Melaka kekal terbuka dan selamat untuk pelayaran antarabangsa, sesuai dengan apa yang diperuntukkan di dalam konvensyen antarabangsa ini.

Sekiranya Selat Melaka ditutup untuk pelayaran, kesannya sama sahaja seperti apa yang berlaku dengan Terusan Suez sekarang ini.Setelah seminggu tersadai, kapal MV Ever Given akhirnya berjaya dialihkan pada 29 Mac 2021.

Namun, masih belum jelas bilakah laluan Suez dapat dibuka kembali kepada aliran trafik maritim sedunia, yang pastinya akan terus memberikan tekanan kepada rantaian bekalan global.


* Prof Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli ialah seorang pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia. Dr. Izyan Munirah Mohd Zaideen adalah pensyarah Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI

Galabet Portobet Deneme Bonusu Galabetguncelgirisi Galabetonlinecasino Galabetonlineslotoyna