Kebebasan Pelayaran Di Kepulauan Melayu: ‘Adat Antarabangsa’ Yang Dilupakan

https://www.mstar.com.my/lain-lain/rencana/2014/01/02/kebebasan-pelayaran-di-kepulauan-melayu-adat-antarabangsa-yang-dilupakan

Peta gugusan Kepulauan Melayu atau nusantara.
Peta gugusan Kepulauan Melayu atau nusantara.
Peta gugusan Kepulauan Melayu atau nusantara.

BANGSA Melayu adalah pelayar yang hebat dan telah melebarkan pengaruh mereka di seluruh kepulauan Melayu menerusi empayar-empayar maritim yang pernah menguasai Asia Tenggara.

Menerusi konsep ‘kebebasan pelayaran’ (mare liberum), perdagangan berkembang pesat di antara kerajaan-kerajaan yang wujud di rantau ini dan oleh itu, konsep mare liberumboleh dianggap sebagai undang-undang adat antarabangsa.

Orang-orang Melayu telah mengamalkan konsep mare liberum ataupun hak kebebasan pelayaran sejak sebelum ianya dipopularkan oleh Hugo Grotius, seorang sarjana Belanda terkemuka yang diiktiraf ramai sebagai bapa undang-undang antarabangsa.

Adakah konsep kebebasan pelayaran di kepulauan Melayu suatu ‘adat antarabangsa’ yang dilupakan di dalam undang-undang antarabangsa moden?

Kepulauan Melayu

Kepulauan Melayu atau Nusantara, adalah gugusan kepulauan yang terbesar di dunia. Gugusan kepulauan ini terbentang dari Sumatera di barat ke Maluku di timur.

Sejarah telah mencatakan bahawasanya rantau ini adalah penghubung utama dua tamadun dunia yang terbesar, iaitu tamadun Cina dan tamadun India.

Berkurun lamanya, kepulauan Melayu dikenali seantero dunia sebagai pusat perkembangan tamadun maritim.

Empayar Maritim Kepulauan Melayu

Berdasarkan penemuan arkeologi, pelabuhan Melayu terawal yang pernah wujud di kepulauan Melayu adalah Takuapa, atau Langkasuka, yang muncul sekitar kurun ketiga Masihi.

Kurun kelima Masihi menyaksikan kemunculan kerajaan Jiecha, atau nama lainnya Kedah Tua yang diasaskan di kawasan selatan negeri Kedah moden.

Jiecha pernah menjadi pelabuhan yang makmur dan disinggahi kapal-kapal dari Arab, Parsi, India serta Cina.

Orang-orang Jiecha pintar berdagang dan sangat aktif berurusan dengan saudagar-saudagar asing ini.

Srivijaya

Kurun ke tujuh Masihi menyaksikan anjakan paradigma bagi sejarah ketamadunan Melayu dengan kemunculan kerajaan Srivijaya, kerajaan Melayu terbilang yang pernah menguasai Asia Tenggara.

Srivijaya telah berjaya menyatukan kerajaan-kerajaan Melayu kecil lainnya seperti Pan-Pan, Langkasuka dan Jiecha dan melebarkan jajahan takluknya ke sebahagian besar Pulau Sumatera, Semenanjung Melayu, kepulauan Riau dan Pulau Jawa.

Ibu negeri Srivijaya adalah Palembang, yang jaraknya tidak jauh dari Selat Melaka dan Selat Sunda, laluan perkapalan yang penting pada ketika itu.

Empayar Srivijaya berjaya mengawal perdagangan yang melintasi selat-selat ini dengan menggalakkan kapal-kapal dagang untuk singgah di pelabuhan-pelabuhan milik Srivijaya.

Sebagai sebuah kerajaan maritim dan perdagangan, Srivijaya melibatkan diri secara aktif di dalam ekonomi dunia dan serantau serta menjadi makmur dengan memperdagangkan komoditi-komoditi seperti kapur barus, cengkih, buah pala dan barang-barang dagangan yang lain dengan pedagang dari pelbagai wilayah di Asia seperti China, India dan Timur Tengah.

Majapahit

Pusat kekuasaan politik dan ekonomi di kepulauan Melayu beralih dari Pulau Sumatera ke Pulau Jawa pada tahun 1293.

Penguasa Majapahit berjaya meluaskan jajahan takluk empayar tersebut secara mendadak pada kurun ketiga belas Masihi ke seluruh Nusantara termasuk Pulau Sumatera, Semenanjung Melayu, Sulawesi, Maluku dan selatan Mindanao.

Majapahit mencipta kemakmuran melalui produk pertaniannya, iaitu beras dan menerusi perdagangan maritim yang melayari selat-selat kepulauannya.

Dengan wilayah yang terbentang luas, pedagang Majapahit mengumpulkan bahan-bahan mentah di kawasan pedalaman untuk didagangkan di pelabuhannya.

Bahan-bahan dagangan ini termasuk lada hitam, garam dan minyak kelapa dari Pulau Jawa, rempah ratus dari Maluku, gading dari Sumatera dan bijih timah dari Semenanjung Melayu untuk ditukarkan dengan komoditi tekstil dari India dan tembikar dari China.

Majapahit telah menjadi kerajaan yang menyambung warisan keagungan Srivijaya pada kurun kedua belas dan ketiga belas Masihi sebagai pusat perdagangan terulung di kepulauan Melayu.

Melaka

Melaka adalah kerajaan yang meneruskan legasi kekuasaan rumpun Melayu setelah runtuhnya Majapahit di Pulau Jawa.

Diasaskan oleh putera Melayu yang merupakan waris kerajaan Srivijaya pada kurun keempat belas, keagungan Melaka diabadikan pada nama sebuah laluan perkapalan terpenting di dunia, Selat Melaka.

Pada pertengahan kurun keempat belas, kesultanan Melaka telah bangkit menjadi sebuah kerajaan yang berpengaruh dan disegani di rantau ini.

Lokasinya yang terletak di pesisir Selat Melaka yang terlindung dari angin monsun yang kencang membantu perkembangannya menjadi pelabuhan entrepot yang maju.

Sebagai sebuah pelabuhan antarabangsa dan kerajaan serantau yang ulung, Melaka telah menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan negara-negara lain seperti China, Jawa, Siam dan India.

Kemakmuran Melaka kekal sehingga 1511 sebagai sebuah pelabuhan persinggahan yang penting di dalam aliran utama perdagangan dunia.

Sebelum kejatuhannya ke tangan Portugis, kota Melaka dikatakan mempunyai sekitar 100,000 orang penduduk, sebesar dan segah kota-kota Eropah yang telah wujud ketika itu seperti Naples dan Paris.

Kejatuhan Melaka tidak menghentikan perkembangan perdagangan di kepulauan Melayu secara menyeluruh kerana setelah itu, muncul pula kerajaan Johor, Gowa dan Aceh.

Mare Liberum di Kepulauan Melayu

Sejarah telah membuktikan bahawa kerajaan-kerajaan Melayu telah lama mengamalkan mare liberumdalam menjalankan perdagangan dengan negara-negara lain sebelum Hugo Grotius mencipta konsep tersebut.

Sebagai pelayar-pelayar yang hebat, orang-orang Melayu pernah suatu ketika dahulu menguasai lautan.

Sewaktu zaman kegemilangannya, pengaruh Srivijaya tersebar meliputi sebahagian besar Lautan Hindi sehingga Pulau Madagaskar di barat.

Orang-orang Melayu berketurunan Makassar pernah menemukan benua Australia dan berdagang dengan kaum pribumi Australia di Tanah Arnhem seawal kurun ketujuh belas Masihi.

Pada zaman penjajahan, beberapa kerajaan di Nusantara menentang keras monopoli perdagangan yang diamalkan oleh Belanda sewaktu mereka menguasai Hindia Timur (Indonesia).

Sebagai contoh, Sultan Hassanudin, penguasa kerajaan Gowa di Makassar seringkali membantah monopoli Belanda di wilayahnya.

Baginda percaya bahawa Tuhan telah menciptakan bumi ini untuk semua bangsa dan takdir tidak menyatakan bahawa perdagangan di kepulauan Melayu adalah khusus untuk orang Eropah sahaja.

Arahan orang Belanda melarang orang Makassar belayar secara bebas di laut wilayah Gowa adalah suatu perkara yang dianggap tidak masuk akal oleh Sultan Hassanudin.

Di dalam kes Pedra Branca yang diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2008, pihak mahkamah dalam penghakiman pusingan pertama mengisytiharkan Kesultanan Johor memiliki kedaulatan ke atas Pedra Branca/Pulau Batu Putih (PBP) dengan menyatakan seperti yang berikut:

‘Having considered the actual historical and geographical context of the present case relating to the old Sultanate of Johor, the Court concludes that as far as the territorial domain of the Sultanate of Johor was concerned, it did cover in principle all the islands and islets within the Straits of Singapore, which lay in the middle of this kingdom and did thus include the Island of Pedra Branca/PBP. This possession of the Islands by the Old Sultanate of Johor was never challenged by any other Powers in the region and can in all circumstances be seen as satisfying the condition of “continuous and peaceful display of territorial sovereignty”.’

‘Dengan mempertimbangkan konteks geografi dan sejarah sebenar kes berkaitan dengan kesultanan Johor, mahkamah membuat kesimpulan bahawa wilayah Johor secara dasarnya meliputi semua pulau-pulau yang terletak di Selat Singapura, termasuk Pedra Branca/PBP.

Pemilikan pulau-pulau ini oleh kesultanan Johor tidak pernah dipertikaikan oleh kuasa-kuasa lain di rantau tersebut dan Johor boleh dianggap telah “mengamalkan kedaulatan ke atas wilayahnya secara aman dan berterusan”.’

Menerusi penghakiman ini, kedaulatan kesultanan Johor telahpun diakui di peringkat dunia.

Kesimpulan juga boleh dibuat yang mana pihak ICJ mengesahkan bahawa kesultanan Johor berhak mewujudkan undang-undang adat antarabangsanya sendiri dalam ‘mengamalkan kedaulatan ke atas wilayahnya secara aman dan berterusan’.

Undang-undang adat antarabangsa yang dimaksudkan di sini adalah hak kebebasan pelayaran yang tidak boleh dihalang oleh mana-mana negara sekalipun.

Contoh-contoh ini jelas menunjukkan bahawa mare liberumtelah lama diamalkan sebagai undang-undang adat antarabangsa oleh warga kepulauan Melayu.

Adat Antarabangsa yang Dilupakan?

Berkurun lamanya, kepulauan Melayu diwarnai dengan sejarah kegemilangan, sejarah perdagangan dan sejarah penjajahan yang panjang.

Walaupun kerajaan-kerajaan di kepulauan Melayu bertukar tangan saban tahun, namun, aktiviti perdagangan tetap berlaku di antara kerajaan-kerajaan ini dengan negera-negara Asia yang lain tanpa henti.

Walaupun Hugo Grotius terus diiktiraf sebagai pelopor kepada konsep mare liberum, aktiviti perdagangan yang pesat ini membuktikan bahawa selain bangsa Eropah, bangsa-bangsa Asia, seperti orang-orang Melayu, Cina, India dan Arab telahpun mengamalkan konsep kebebasan pelayaran sebelum Hugo Grotius memperkenalkannya.

Namun begitu, nasib kurang menyebelahi orang-orang Melayu kerana sejarah kegemilangan bangsa ini sebagai pembina empayar dan pelayar yang ulung tidak pernah direkodkan secara rasmi.

Sejak kejatuhan Srivijaya pada abad kedua belas Masihi, keagungan Srivijaya sebagai sebuah kerajaan perdagangan yang ulung telah lama dilupakan dan kewujudannya tidak pernah diakui oleh orang-orang Melayu sendiri.

Kewujudan Srivijaya hanya diakui oleh pakar-pakar sejarah pada kurun kesembilan belas, yang diiktiraftidak kurang hebat berbanding kerajaan Majapahit dan kesultanan Melaka.

Kedaulatan kerajaan Melayu Johor, yang merupakan penyambung warisan kepada Srivijaya dan Melaka, hanya diiktiraf diperingkat antarabangsa baru-baru ini pada tahun 2008 oleh ICJ.

Berdasarkan fakta-fakta ini, adalah tidak keterlaluan untuk menyatakan konsep ‘kebebasan pelayaran’ atau mare liberum yang telah dipelopori sejak berkurun lama oleh orang-orang Melayu telah menjadi adat undang-undang antarabangsa yang dilupakan.

> Mohd Hazmi Mohd Rusli (Ph. D) adalah pensyarah kanan di Universiti Sains Islam Malaysia dan seorang felo penyelidik di Institut Oseanografi dan Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu manakala Rahmat Mohamad pula ialah profesor undang-undang antarabangsa di Universiti Teknologi Mara dan setiausaha agung pertubuhan Asian African Legal Consultative Organisation di New Delhi, India.

Galabet Portobet Deneme Bonusu Galabetguncelgirisi Galabetonlinecasino Galabetonlineslotoyna