COVID-19: Pilihan tepat YDPA memayungi negara

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/covid19-pilihan-tepat-ydpa-memayungi-negara-235734

Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli, Dr Fareed Mohd Hassan

COVID-19: Pilihan tepat YDPA memayungi negara
Ternyata institusi YDPA dan Raja-Raja Melayu amat penting dalam mendepani apa jua kemelut serta memastikan kestabilan bumi pertiwi ini daripada terjerumus ke jurang anarki. – Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR

MALAYSIA kini sedang mendepani musuh berbahaya yang tidak terlihat. Kerajaan telah berusaha sedaya upaya untuk memastikan wabak COVID-19 angkara Virus Wuhan tidak terus menular dengan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac yang lalu.Pihak polis dan tentera juga telah dikerahkan untuk memastikan PKP berkesan dengan membatasi pergerakan rakyat.Hampir tepat sebulan yang lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada hari Isnin, 24 Februari 2020.Ini telah meletakkan negara dalam suatu teka-teki mengenai hala tuju pimpinan politik negara.

Wabak COVID-19 pula telah menerjah negara sebulan sebelum peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir iaitu pada 25 Januari 2020 dengan kes pertama dilaporkan melibatkan pelancong-pelancong dari China.Akan tetapi, gelombang pertama COVID-19, biarpun menggusarkan, belum lagi mencetuskan kekacauan seperti gelombang kedua kini.

Malah, pimpinan negara pada waktu itu menegaskan untuk tidak menghalang kedatangan pelancong dari China seperti yang dizahirkan oleh bekas Menteri Pelancongan, Datuk Mohamaddin Ketapi pada 22 Januari 2020.COVID-19 belum menjadi berita sensasi lagi pada waktu itu dan senario politik negara kembali keruh apabila Tun Dr. Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, sebulan kemudian.Antara alasan yang beliau sebut sebagai sebab peletakan jawatan adalah kekecewaan beliau dengan pemimpin-pemimpin politik Malaysia terlalu sibuk dengan isu politik sehingga lupa dengan masalah ekonomi dan kesihatan yang mengancam negara.Peletakan jawatan beliau sekaligus menggugurkan kabinet Malaysia yang hanya berkhidmat selama 22 bulan.

Akan tetapi Tun Dr. Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri Interim seperti yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (YDPA).Malaysia jatuh ke kancah permasalahan politik apabila wakil-wakil rakyat berusaha keras untuk membentuk gabungan politik bagi membentuk parti pemerintah.Datuk Seri Anwar bin Ibrahim, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah antara yang telah dinamakan sebagai calon Perdana Menteri yang telah mendapat sokongan majoriti.

YDPA telah menjalankan peranan baginda sebagai ketua negara berdasarkan peruntukan Perlembagaan telahpun berjumpa dengan ahli-ahli Parlimen untuk mendapatkan kepastian siapakah yang patut untuk diangkat menjadi Perdana Menteri.Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa YDPA boleh melantik seorang Perdana Menteri yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.Sekiranya Perdana Menteri tidak dilantik, YDPA juga boleh memilih untuk membubarkan Parlimen menurut Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan dan pilihan raya umum (PRU) perlu diadakan.

Akhirnya, YDPA telah berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin dan istiadat angkat sumpah sebagai Perdana Menteri telah dijalankan pada Ahad, 1 Mac 2020 di Istana Negara.

Wabak COVID-19 terus mencengkam negara secara mendadak setelah itu dan PKP telah dikuatkuasakan tujuh belas hari kemudian pada hari Rabu, 18 Mac 2020.Malaysia sekarang ini telah berada pada hari kesebelas PKP dengan kes jangkitan COVID-19 melepasi paras 2,000 kes.PKP telahpun dilanjutkan sehingga 14 April 2020 bagi mengekang penularan wabak COVID-19 serta memastikan rakyat dapat mengamalkan penjarakkan sosial dengan berada di rumah dan tidak berkumpul di sesuatu tempat terlalu ramai.

Sebelum ini, terdapat suara-suara yang memberikan pendapat bahawa sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia sudah usang, tidak relevan dan perlu dimansuhkan.Ternyata pada hari ini sekiranya YDPA tidak ada, negara mungkin terpaksa lagi bergelut dengan kemelut politik sekaligus mencetuskan keadaan tidak aman dalam negara.Negara mungkin akan berada dalam keadaan anarki. Ini sudah tentu akan memberikan kesulitan kepada semua warganegara Malaysia tidak kira umur, bangsa dan agama.

Sekiranya YDPA memutuskan untuk tidak menyelesaikan kemelut politik lebih awal ataupun membuat keputusan untuk membubarkan parlimen, PRU terpaksa diadakan dan akhirnya akan mengakibatkan negara terpaksa berbelanja besar akibat kegagalan kerajaan sebelum ini yang runtuh tidak sampai satu penggal.

Jika PRU diadakan, selain perbelanjaan besar, rakyat juga mungkin akan terdedah kepada risiko jangkitan COVID-19 yang lebih parah kerana umum mengetahui PRU bakal mengumpulkan warganegara di satu-satu tempat dalam jumlah yang banyak bagi menjalankan proses pengundian.Malaysia mungkin akan jadi tapak panas yang baru bukan sahaja di Asia tapi juga di dunia. Seandainya PRU berkemungkinan ditangguhkan kerana wabak COVID-19 ini, kabinet Malaysia tidak dapat dibentuk menyebabkan negara terpaksa mengharungi kesulitan ini tanpa kerajaan yang mentadbir.

Ternyata institusi YDPA dan Raja-Raja Melayu amat penting dalam mendepani apa jua kemelut serta memastikan kestabilan bumi pertiwi ini daripada terjerumus ke jurang anarki.YDPA amat bijaksana dalam membuat pilihan bagi menyelesaikan kemelut politik negara secepat mungkin dan keputusan yang dibuat oleh Baginda tepat pada masanya bagi memayungi negara.

Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita sama-sama menyokong usaha kerajaan dalam membendung penularan wabak COVID-19 dan berhenti memainkan isu politik untuk sementara waktu sehingga polemik ini berakhir.Walaupun wabak ini telah membawa krisis, tetapi wabak ini jugalah yang mengajar kita bahawa Malaysia hanya boleh diselamatkan jika Pemerintah dan rakyatnya bersatu dan setia kepada negara.


* Leftenan Komander Prof. Madya Dr. Mohd Hazmi bin Mohd Rusli (Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut diRaja Malaysia) dan Dr. Fareed Mohd Hassan adalah pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.

Galabet Portobet Deneme Bonusu Galabetguncelgirisi Galabetonlinecasino Galabetonlineslotoyna