Ibu negara baru Indonesia gugat Selat Melaka?

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/10/17/ibu-negara-baru-indonesia-gugat-selat-melaka/

Mohd Hazmi Mohd Rusli

Tidak lama dahulu, Presiden Indonesia, Joko Widodo telah mengumumkan lokasi ibu negara baru Indonesia di Kalimantan Timur, menggantikan Jakarta yang mengalami bukan sahaja masalah limpahan penduduk serta dikatakan sedikit demi sedikit tenggelam ke dalam lautan.

Perpindahan ibu negara ini bertujuan mengurangkan masalah kesesakan di Jakarta dan bertujuan memakmurkan wilayah lain selain Pulau Jawa. Pemilihan Kalimantan Timur sebagai lokasi ibu negara baru mengambil kira lokasinya di tengah-tengah Indonesia bebas daripada bencana alam seperti gempa bumi, gunung berapi dan ancaman tsunami.

Kalimantan Timur menyempadani Selat Makassar yang merupakan antara laluan perkapalan terpenting di Asia Tenggara. Pelabuhan terbesar di Indonesia pada ketika ini adalah Pelabuhan Tanjung Priok di Jakarta Utara yang ditempatkan di tangga ke-22 pelabuhan tersibuk di dunia oleh Lloyd’s One Hundred Ports 2019.

Dengan perpindahan ibu negara Indonesia sekali gus Kalimantan Timur dimajukan sebagai hab perkapalan, apakah implikasinya terhadap laluan perkapalan di Asia Tenggara?

Pada ketika ini, Selat Melaka diiktiraf sebagai jalan maritim tersibuk di Asia dan kedua tersibuk di dunia, selepas Selat Dover di United Kingdom. Pusat Maritim Nippon yang berpusat di Singapura melaporkan jumlah kapal melewati Selat Melaka terus meningkat pada 2017 mencecah 84,456, jumlah tertinggi dalam catatan sejarah maritim dunia bagi laluan perkapalan penting ini.

Selain Selat Melaka, Selat Sunda serta Selat Lombok dan Makassar juga merupakan laluan perkapalan yang tidak kurang penting di Asia Tenggara. Namun, selat-selat ini tidaklah sesibuk Selat Melaka dan sering dianggap sebagai jalan perkapalan alternatif di rantau ini. Selat Sunda hanya dilayari lebih kurang 3,500 kapal setahun dan Lombok-Makassar dalam 3,900 kapal setahun.

Selat Makassar jadi lebih penting?

Namun, sekiranya Indonesia memajukan Kalimantan Timur sebagai hab perkapalan seiring perpindahan ibu negaranya, laluan Selat Makassar ini mungkin akan menjadi lebih penting di masa akan datang. Ini juga boleh dimanfaatkan oleh Malaysia dengan memajukan pantai timur Sabah sebagai pusat perkapalan yang penting, sekali gus mengekang aktiviti jenayah maritim di kawasan tersebut.

Selat Melaka sebelum 2006 pernah ditetapkan sebagai kawasan ‘zon perang’ oleh Unit Insurans Martim Lloyds yang berpusat di London kerana aktiviti jenayah rompakan laut dan lanun. Oleh kerana Selat Melaka penting untuk perkapalan, kawalan keselamatan di selat ini telah dipertingkatkan dan aktiviti jenayah yang mengancam aktiviti perkapalan telah berjaya dikurangkan dengan jayanya. Ini juga mungkin boleh berlaku membabitkan kawasan pantai timur Sabah yang sehingga kini diancam pengganas Abu Sayyaf dari selatan Filipina.

Akan tetapi, perlu diingat bahawa Selat Melaka kekal sebagai sebuah laluan perkapalan kedua tersibuk di dunia kerana ia masih merupakan jalan maritim paling dekat menghubungkan kuasa ekonomi Asia Timur yakni China, Jepun dan Korea Selatan dengan pembekal petroleum mereka di Asia Barat.

Selat Melaka pada hari ini menampung trafik maritim tinggi melangit menghampiri 85,000 kapal per tahun, 22 kali ganda lebih banyak daripada kedua-dua laluan Selat Sunda dan Lombok-Makassar. Pelayaran yang lebih lama menerusi jalan-jalan alternatif ini kurang digemari syarikat-syarikat perkapalan.

Pada masa kini, Pelabuhan Tanjung Priok yang terletak berhampiran Jakarta masih tidak mampu menyaingi kehebatan Pelabuhan Singapura, Tanjung Pelepas dan Klang. Apakah perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur mampu mentranformasikan Selat Makassar sebagai jalan perkapalan utama setaraf Selat Melaka?

Melainkan Indonesia bangkit sebagai kuasa ekonomi dunia atau gergasi-gergasi ekonomi Asia Timur berhenti mengimport petroleum dari Asia Barat, boleh disimpulkan perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur tidak akan memberikan implikasi besar kepada aliran perkapalan menerusi jalan-jalan laut utama di Asia Tenggara.

Selat Melaka akan terus kekal sebagai jalan utama dengan jalan-jalan laut menerusi kepulauan Indonesia sebagai laluan alternatif penting di rantau ini.

Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT

Galabet Portobet Deneme Bonusu Galabetguncelgirisi Galabetonlinecasino Galabetonlineslotoyna