Kepakaran Dr. Hazmi Mohd Rusli dalam undang-undang laut antarabangsa dipandang tinggi
Mengakui beliau bukanlah pelajar pintar semasa pengajiannya yang lalu, namun Dr. Hazmi Mohd Rusli, Pensyarah Kanan Fakutli Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kini telah berjaya membuktikan tiada apa yang mustahil selagi punyai semangat untuk melaksanakan sesuatu perkara.
Beliau pernah menjadi ahli akademik Asia Tenggara pertama yang dijemput sebagai Profesor Pelawat di Fakulti Undang-undang di Far Eastern Federal University (FEFU), Vladivostok serta mendapat pengiktirafan sebanyak empat kali berturut-turut ke sana menzahirkan ianya juga satu penghormatan kepada sistem Pendidikan Tinggi Malaysia. Ikuti bual bicara selanjutnya.
S1 Ceritakan serba ringkas mengenai diri dan latar belakang pengajian.
Saya merupakan anak jati Kuala Lumpur berasal dari Taman Melawati. Saya menerima pendidikan rendah di Methodist Boys School, Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati untuk pendidikan menengah. Saya merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 2006 dan Sarjana Undang-Undang Perbandingan, juga di UIAM pada tahun 2007. Saya diterima masuk sebagai Peguambela dan Peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya pada tahun 2007 dan sebagai Peguam Syarie Wilayah Persekutuan pada tahun 2008.
Sejak dari bangku universiti lagi, saya sedar kecenderungan saya bukanlah dalam amalan guaman tapi lebih kepada akademik. Nasib menyebelahi saya apabila saya diterima sebagai tutor di FSU di USIM pada tahun 2008. Pada Mac 2009, saya menyambung pengajian pada peringkat PhD dalam Undang-undang laut antarabangsa di Australian National Centre for Ocean Resources and Security (ANCORS), University of Wollongong, Australia. Pada Februari 2012, saya menamatkan pengajian saya di ANCORS dan dilantik sebagai pensyarah kanan di FSU pada Jun 2012.
Sedikit perkongsian, semasa saya dibangku sekolah, Sejarah adalah subjek yang paling saya minat terutamanya Sejarah Nusantara. Tetapi setelah itu, saya tidak berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang yang saya minati ini sehinggalah saya diberi kesempatan oleh USIM untuk melanjutkan pengajian PhD dalam apa-apa bidang yang saya minati. Oleh itu, saya memilih untuk mendalami pengajian undang-undang laut antarabangsa yang komponen utamanya adalah subjek Sejarah. Setakat bulan April 2018, saya telah berkhidmat sebagai pensyarah di USIM hampir enam tahun.
S2 Pada pandangan Dr, apakah kepentingan mengambil tahu akan bidang undang-undang laut ini?
Bidang ini sebenarnya telah lama dipelajari masyarakat Melayu kerana kita sendiri menurut sejarah adalah pelayar-pelayar hebat. Kalau tidak, masakan masyarakat Melayu Nusantara berjaya belayar ke Madagascar sewaktu keagungan kerajaan Srivijaya pada kurun ke 9 Masihi. Kesultanan Melaka juga memiliki Undang-undang Laut Melaka yang digubal sendiri oleh Sultan Mansur Shah pada kurun ke 15 Masihi. Akan tetapi, kepintaran masyarakat Melayu dalam bidang ini hilang sedikit demi sedikit akibat penjajahan dan sekarang didominasi hampir sepenuhnya oleh sarjana-sarjana Barat.
Menurut saya, bidang ini adalah penting kerana ia menyangkut pengetahuan kita dalam menjaga kedaulatan perairan negara. Sekiranya kita tidak berpengetahuan dalam bidang ini, besar kemungkinan hasil-hasil laut kita boleh ditipu oleh negara-negara besar yang lebih berpengetahuan. Mungkin sebab itu juga kita kehilangan Batu Puteh 10 tahun yang lalu.
Bidang ini juga boleh dikatakan belum dikenali di Malaysia. Tetapi, yang paling penting adalah soal kedaulatan. Kita telah hilang Batu Puteh pada tahun 2008. Adakah kita sanggup mengulangi kesilapan ini lagi? Bidang ini juga boleh membangkitkan semangat sayangkan negara dan semangat patriotisme yang tinggi jika dihayati.
S3 Bagaimana mulanya perjalanan Dr terlibat menyampaikan kuliah dan pembentangan kertas kerja ke pelbagai negara?
Terus terang saya katakan saya bukanlah ‘star student’ sewaktu di peringkat sarjana muda. Bahasa Inggeris saya tidaklah begitu bagus dan saya tidaklah aktif seperti pelajar-pelajar pintar lain yang aktif menceburkan diri dalam pertandingan pidato dan mooting di dalam dan luar negara. Tetapi pengajian di UIAM memberikan saya ruang untuk memperbaiki Bahasa Inggeris saya sedikit demi sedikit.
Saya juga tidak pernah berjauhan dengan keluarga dan tidak pernah hidup berdikari. Bermula 2009, segala-galanya berubah kerana saya telah memilih untuk keluar dari zon selesa saya dan merantau ke Australia. Di sana saya telah berkawan dengan individu-individu dari pelbagai negara dan ini mengubah corak hidup saya sedikit demi sedikit, dari seorang yang tidak yakin diri kepada yakin diri. Saya juga telah mengubah mentaliti saya bahawa ilmu sesungguhnya lagi penting dari kebolehan berbahasa Inggeris seperti ‘native speaker’.
Kawan-kawan dan penyelia saya di sana, Profesor Robin Warner antara yang banyak memberi galakan untuk saya pergi membentangkan kertas kerja saya di dalam dan luar Australia. Sejak dari itu, keyakinan saya semakin tinggi dan menjadi ketagih untuk terus membentangkan kertas kerja di mana sahaja pelosok dunia. Tempat paling aneh yang pernah alami semasa pembentangan kertas kerja adalah di University of Greenland pada tahun 2015, yang terletak berhampiran kutub utara dunia. Saya juga telah diberikan penghormatan sebagai satu-satunya ahli akademik yang diundang ke Persidangan Maritim di Amerika Syarikat anjuran US Coast Guard pada tahun 2016. Dari persidangan-persidangan ini jugalah saya telah bertemu banyak kawan-kawan baru dan berpeluang ber’networking’. Layari : http://www.astroawani.com/berita-malaysia/dr-hazmi-satu-satunya-pensyarah-asia-ke-persidangan-maritim-118320
S4 Pencapaian terbesar semestinya apabila dijemput oleh Far East Federal University (FEFU) sebagai pensyarah pelawat sebanyak 4 kali. Boleh Dr kongsikan pengalaman tersebut.
Alhamdulillah. Sebagai anak Melayu Malaysia, saya sangat bersyukur dengan kesempatan ini untuk membawa nama USIM dan nama negara ke mata dunia. Kesempatan ini bermula apabila saya menghadiri ‘summer school’ di Shanghai dan Xiamen (masing-masing 2013 dan 2014) di China dengan biasiswa dari Kerajaan China. Di sana saya bertemu dengan seorang pensyarah dari Rusia, Dr Roman Dremliuga yang berminat dengan penulisan-penulisan saya dan telah menawarkan kepada saya untuk mengajar sebagai profesor atau pensyarah pelawat di FEFU, Vladivostok, Rusia. Setelah CV saya diteliti oleh pihak fakulti di FEFU, saya diterima untuk mengajar di sana selama 10 hari bermula 2014, sehinggalah kini.
Tugasan saya adalah perlu menerbitkan sekurang-kurangnya satu (1) artikel dalam jurnal berindeks ISI/SCOPUS dan menulis penerbitan popular menggunakan nama FEFU. Saya pernah menulis artikel membincangkan masalah Rohingya di majalah FORBES dan telah juga ditemubual oleh BBC dalam perkara ini. Pihak FEFU amat bersenang hati apabila nama universitinya disebut di dalam majalah FORBES. Layari : https://www.forbes.com/forbes/welcome/?toURL=https://www.forbes.com/sites/realspin/2017/01/23/the-rohingya-exodus-is-malaysia-in-a-catch-22-situation/&refURL=https://www.google.com/&referrer=https://www.google.com/
Saya juga diminta untuk menyampaikan kuliah umum sebanyak tiga kali dalam bidang undang-undang laut antarabangsa khususnya dan undang-undang antarabangsa amnya.
S5 Cabaran serta harapan pada masa depan.
Cabaran saya adalah untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan bidang ini. Tidak seperti undang-undang jenayah, undang-undang kontrak ataupun jual beli, saya dapat lihat bahawa kebanyakan orang tidak memahami apakah itu undang-undang laut dan menyangkakan ianya hanya terpakai untuk kapal belayar di laut. Tetapi sebenarnya ia lebih dari itu. Ia menyangkut soal kedaulatan, kemaslahatan alam sekitar, ekonomi dunia dan hubungan antarabangsa.
Justeru, saya berharap agar lebih ramai anak muda menceburi bidang undang-undang antarabangsa terutamanya undang-undang laut bagi memantapkan lagi kesarjanaan kita dalam bidang ini. Singapura, negeri jiran kita yang dekat itu telah jauh meninggalkan kita dalam bidang ini. Sekiranya kita ingin kekal berdaya saing, adalah penting untuk kerajaan dan rakyat berganding bahu memantapkan pembangunan sumber daya manusia kita. Sama-samalah kita wujudkan Malaysia yang lebih gemilang untuk kemaslahatan Islam, kemakmuran bangsa dan kesejahteraan rakyat.