Tragedi Sriwijaya Air: Sistem pengangkutan udara di ambang bahaya?

Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli, Muhammad Ruhaizat Mohd Roni

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tragedi-sriwijaya-air-sistem-pengangkutan-udara-di-ambang-bahaya-278094

Tragedi Sriwijaya Air: Sistem pengangkutan udara di ambang bahaya?
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) haruslah mengambil iktibar dalam memastikan tragedi seumpama ini tidak akan berlaku lagi. – Foto REUTERS

SISTEM pengangkutan udara yang sedang kita nikmati hari ini semakin maju dan berkembang pesat bukan sahaja di dalam negara, bahkan di seluruh dunia. Hal ini juga telah membuatkan sistem pengangkutan udara ditakrifkan sebagai salah satu pengangkutan yang paling cepat serta selamat berbanding dengan penggunaan pengangkutan darat atau laut.

Industri penerbangan negara juga dalam masa sama telah banyak membantu memperkembangkan produk-produk pelancongan negara. Sebelum pandemik COVID-19 melanda Malaysia, Kuala Lumpur pernah diiktiraf berkali-kali oleh pelbagai media pelancongan sebagai salah sebuah bandaraya yang paling banyak dikunjungi pelancong seluruh dunia.

Malaysia Airlines Berhad (MAB), Air Asia, Malindo Air adalah antara syarikat-syarikat penerbangan yang terkenal di tanah air.Tidak dinafikan bahawa wabak COVID-19 telah secara langsung atau tidak langsung melumpuhkan industri ini.Namun, di sebalik pandemik ini, dunia masih memerlukan industri penerbangan untuk pelbagai tujuan, terutamanya perdagangan dan pengangkutan.

Terdapat banyak perkara yang telah dibincangkan mengenai kes insiden dan juga kemalangan yang melibatkan sistem pengangkutan udara di negara kita dan seluruh dunia.Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa atau International Civil Aviation Organization (ICAO) telah mewujudkan beberapa peraturan bagi memastikan keselamatan penerbangan bagi mengelakkan berlakunya insiden atau kemalangan yang melibatkan industri penerbangan.

Tragedi Sriwijaya Air yang terhempas baru-baru ini telah menimbulkan tanda tanya – adakah sistem pengangkutan udara berada di ambang bahaya?

Sejarah nahas pengangkutan udara di Malaysia

Pada tahun 2014, negara kita telah mengalami beberapa tragedi nahas yang melibatkan syarikat penerbangan kebangsaan, MAB.Nahas MH370 dan MH17 masih segar dalam ingatan semua. Pesawat MH370 yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, China telah dilaporkan hilang pada sekitar 8 Mac 2014 dan sehingga kini masih tidak ditemukan.Setelah itu, pada 17 Julai 2014 pula, negara telah dikejutkan dengan satu lagi berita yang mengenai nahas insiden oleh pesawat penerbangan MH17.

Pesawat ini telah memulakan perjalanan dari Amsterdam, Netherlands menuju Kuala Lumpur, tetapi telah ditembak jatuh di sekitar wilayah konflik Donetsk di ruang udara Ukraine.Kesemua 298 penumpan di atas kapal terbang tersebut dari 10 buah negara telah terbunuh.

Tony Tyler, Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa atau International Air Transport Association (IATA) pada ketika itu menyebut bahawa perlunya inisiatif untuk mengurangkan risiko pesawat yang terbang di atas kawasan zon konflik negara tersebut.

Tragedi Sriwijaya Air SJ-182

Pada 9 Januari 2021, dunia penerbangan telah sekali lagi dikejutkan dengan tragedi Sriwijaya Air, syarikat penerbangan tambang rendah Indonesia.Sebelum terhempas di Laut Jawa lewat petang tanggal 9 Januari, pesawat ini telah melakukan beberapa siri penerbangan dari Jakarta ke Pontianak di wilayah Kalimantan serta ke Pangkal Pinang di Kepulauan Bangka Belitung.

Pesawat penerbangan ini telah dijadualkan untuk terbang ke Pontianak dari Jakarta sekitar pukul 2 petang dengan membawa sekitar 62 orang penumpang termasuk 12 anak kapal.Namun, hujan lebat yang berlaku di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta telah menyebabkan berlakunya kelewatan sekitar 30 minit dari pelepasan yang dijadualkan.Pesawat ini akhirnya berlepas ke Pontianak pada jam 2.36 petang.

Pada pukul 2.40 petang, menara kawalan telah hilang perhubungan dengan pesawat SJ-182 yang tidak muncul lagi di radar.Data pengesanan bagi sistem operasi penerbangan itu menunjukkan bahawa pesawat itu tersebut jatuh menjunam ke laut dengan hanya mengambil masa empat minit sahaja selepas berlepas.Kotak hitam pesawat SJ-182 telah ditemui setelah beberapa hari terhempas.

Peruntukan undang-undang sedia ada

Perbincangan mengenai isu tragedi insiden Sriwijaya Air SJ-182 telah mendapat perhatian pelbagai pihak di seluruh dunia terutamanya pihak ICAO.Berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada, pihak kerajaan yang terlibat boleh bekerjasama dengan pihak ICAO menerusi Lampiran 13 (ANNEX 13) ICAO berhubung Kemalangan Pesawat dan Penyiasatan Insiden.

Lampiran 13 membolehkan pihak ICAO mengambil tindakan sebagai pemerhati rasmi dalam proses penyiasatan bagi mendapatkan jawapan mengenai sesuatu kemalangan udara.Lampiran ini juga menggariskan bahawa negara-negara yang terlibat di dalam penyiasatan ini boleh menyediakan laporan awal sesuatu nahas penerbangan.

Laporan akhir boleh disediakan setelah kesemua siasatan mengenai tragedi Sriwajaya Air ini selesai bagi mendapatkan maklumat-maklumat penting yang memberikan jawapan bagaimana tragedi ini boleh berlaku.

Kesimpulan

Sebagai pertubuhan-pertubuhan antarabangsa yang berkaitan, ICAO dan IATA perlulah mengambil tahu dan membuat tindakan selanjutnya di dalam mencari jawapan di sebalik terhempasnya pesawat SJ-182.Usaha berterusan perlu dilakukan oleh semua pihak di dalam industri penerbangan untuk memastikan industri penerbangan awam terus berkembang maju dan sistem pengangkutan udara di seluruh dunia di bawah pantauan dan kawalan operasi penerbangan dengan selamat.

Sungguhpun tragedi ini berlaku di negara jiran, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) haruslah mengambil iktibar dalam memastikan tragedi seumpama ini tidak akan berlaku lagi.Selain itu, syarikat penerbangan juga perlulah memandang serius dengan mengambil tindakan, untuk menaik taraf sistem keselamatan dan pemeriksaan di setiap sudut pesawat.

Kru-kru penerbangan juga harus memainkan peranan penting dalam membendung kejadian yang tidak diinginkan dengan sentiasa membuat pantauan kendiri dari segi kesihatan, kekuatan fizikal, serta menghadirkan diri dalam skim latihan berterusan (recurrent training) untuk semua kru penerbangan selama enam bulan dalam setahun.Dengan adanya usaha-usaha sedemikian, nescaya industri penerbangan global tidak akan terperosok ke ambang bahaya.


* Muhammad Ruhaizat Mohd Roni adalah kadet juruterbang di Malaysia Airlines Academy, dan Profesor Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI

Galabet Portobet Deneme Bonusu Galabetguncelgirisi Galabetonlinecasino Galabetonlineslotoyna