ULASAN | Tragedi Sriwijaya Air: Sistem pengangkutan udara di ambang bahaya?
Muhammad Ruhaizat Mohd Roni & Mohd Hazmi Mohd Rusli
https://www.malaysiakini.com/news/559240
Sistem pengangkutan udara telah maju dan berkembang pesat di negara, malah di seluruh dunia.
sistem pengangkutan udara ditakrifkan sebagai salah satu pengangkutan yang paling cepat serta selamat berbanding pengangkutan darat atau laut.
Industri penerbangan negara telah banyak membantu memperkembangkan produk pelancongan negara.
Sebelum Pandemik Covid-19 melanda Malaysia, Kuala Lumpur diiktiraf berkali-kali oleh pelbagai media pelancongan sebagai salah sebuah bandar raya yang paling banyak dikunjungi pelancong dunia.
Malaysia Airlines Berhad (MAB), Air Asia, Malindo Air adalah antara syarikat-syarikat penerbangan yang terkenal tanah air.
Tidak dinafikan bahawa wabak Covid-19 secara langsung atau tidak langsung melumpuhkan industri ini.
Namun, di sebalik pandemik ini, dunia masih memerlukan industri penerbangan untuk pelbagai tujuan, terutamanya perdagangan dan pengangkutan.
Terdapat banyak perkara yang dibincangkan mengenai kes insiden dan kemalangan yang melibatkan sistem pengangkutan udara di negara kita dan seluruh dunia.
Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (Icao) mewujudkan beberapa peraturan bagi memastikan keselamatan penerbangan dan mengelakkan insiden atau kemalangan.
Tragedi Sriwijaya Air yang terhempas baru-baru ini telah menimbulkan tanda tanya – adakah sistem pengangkutan udara berada di ambang bahaya?
Sejarah nahas di Malaysia
Pada tahun 2014, negara kita merakamkan beberapa nahas yang melibatkan syarikat penerbangan kebangsaan, MAB.
Nahas MH370 dan MH17 masih segar dalam ingatan semua.
MH370 yang berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing, China dilaporkan hilang pada sekitar 8 Mac 2014 dan sehingga kini masih tidak ditemukan.
Setelah itu, pada 17 Julai 2014, negara kita juga dikejutkan dengan berita mengenai nahas insiden pesawat penerbangan MH17.
Pesawat ini telah memulakan perjalanan dari Amsterdam, Netherlands menuju Kuala Lumpur, tetapi ditembak jatuh di sekitar wilayah konflik Donetsk di ruang udara Ukraine.
Kesemuanya 298 orang di atas kapal terbang tersebut dari 10 buah negara terbunuh.
Tony Tyler, ketua pengarah dan ketua pegawai eksekutif Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata) ketika itu menyebut perlunya inisiatif untuk mengurangkan risiko terhadap pesawat yang terbang di atas kawasan zon konflik negara tersebut.
Tragedi Sriwijaya Air SJ-182
Pada 9 Januari 2021, dunia penerbangan sekali lagi dikejutkan dengan tragedi Sriwijaya Air, syarikat penerbangan tambang rendah Indonesia.
Sebelum terhempas di Laut Jawa lewat petang 9 Januari, pesawat ini melakukan beberapa siri penerbangan dari Jakarta ke Pontianak di wilayah Kalimantan serta ke Pangkal Pinang di kepulauan Bangka Belitung.
Pesawat penerbangan ini dijadualkan terbang ke Pontianak dari Jakarta sekitar jam 2.00 petang dengan membawa 62 penumpang termasuk 12 anak kapal.
Namun, hujan lebat yang berlaku di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta menyebabkan berlakunya kelewatan sekitar 30 minit.
Pesawat ini akhirnya berlepas ke Pontianak pada jam 2.36 petang.
Pada jam 2.40 petang, menara kawalan hilang perhubungan dengan pesawat. SJ-182 tidak muncul lagi di radar.
Data pengesanan bagi sistem operasi penerbangan itu menunjukkan pesawat itu tersebut menjunam ke laut, hanya empat minit selepas berlepas.
Kotak hitam pesawat SJ-182 ditemui setelah beberapa hari.
Undang-undang sedia ada
Perbincangan mengenai tragedi insiden Sriwijaya Air SJ-182 mendapat perhatian pelbagai pihak di seluruh dunia terutamanya Icao.
Berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, kerajaan yang terlibat boleh bekerjasama dengan Icao menerusi Lampiran 13 (Annex 13) Icao berhubung kemalangan pesawat dan penyiasatan insiden.
Lampiran 13 membolehkan Icao mengambil tindakan sebagai pemerhati rasmi dalam proses penyiasatan bagi mendapatkan jawapan mengenai sesuatu kemalangan udara.
Lampiran ini juga menggariskan bahawa negara-negara yang terlibat dalam penyiasatan ini boleh menyediakan laporan awal sesuatu nahas penerbangan.
Laporan akhir boleh disediakan setelah kesemua siasatan mengenai tragedi Sriwajaya Air selesai bagi mendapatkan maklumat penting yang memberikan jawapan bagaimana tragedi ini berlaku.
Kesimpulan
Sebagai pertubuhan antarabangsa yang berkaitan, Icao dan Iata perlulah mengambil tahu dan membuat tindakan selanjutnya dalam mencari jawapan di sebalik terhempasnya pesawat SJ-182.
Usaha berterusan perlu dilakukan oleh semua pihak di dalam industri penerbangan untuk memastikan industri penerbangan awam terus berkembang maju, dan sistem pengangkutan udara di seluruh dunia di bawah pantauan dan kawalan operasi penerbangan dengan selamat.
Sungguhpun tragedi ini berlaku di negara jiran, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Caam) haruslah mengambil iktibar.
Selain itu, syarikat penerbangan juga perlulah memandang serius dengan mengambil tindakan, untuk menaik taraf sistem keselamatan dan pemeriksaan di setiap sudut pesawat.
Kru-kru penerbangan juga harus memainkan peranan penting dalam membendung kejadian yang tidak diinginkan dengan sentiasa membuat pantauan kendiri daripada segi kesihatan, kekuatan fizikal, serta menghadiri skim latihan berterusan selama enam bulan dalam setahun.
Dengan adanya usaha-usaha sedemikian, nescaya industri penerbangan global tidak akan terperosok ke ambang bahaya.
MUHAMMAD RUHAIZAT MOHD RONI adalah kadet juruterbang di Malaysia Airlines Academy, dan Profesor Madya DR MOHD HAZMI MOHD RUSLI adalah pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.