[KOLUMNIS] Laluan pelayaran kapal selam bertenaga nuklear: Perairan Malaysia di ambang bahaya?

Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli April 26, 2022 13:08 MYT

[KOLUMNIS] Laluan pelayaran kapal selam bertenaga nuklear: Perairan Malaysia di ambang bahaya? | Astro Awani

[KOLUMNIS] Laluan pelayaran kapal selam bertenaga nuklear: Perairan Malaysia di ambang bahaya?

Malaysia perlu sentiasa bersiap siaga dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada anasir yang tidak diingini. – Foto REUTERS/Elizabeth Frantz

Laluan Perkapalan Penting

ASIA Tenggara merupakan rantau yang dikelilingi alur laut perkapalan yang sangat penting. Selat Melaka sebagai contoh, bukan hanya laluan perkapalan yang sesak malah sempit, yang boleh meningkatkan risiko kemalangan.

Selat Sunda, alur laut yang penting di perairan Indonesia, dipenuhi pelbagai aspek yang boleh menyukarkan navigasi sepertimana Selat Melaka.

Selain beting pasir yang sering muncul di laluan perkapalan ini, Gunung Krakatau yang masih aktif terletak di tengah-tengah selat ini, disamping puluhan platform pelantar minyak serta kewujudan pulau-pulau kecil dan batu karang berpotensi menyulitkan pelayaran kapal-kapal.

Selain itu, Laut China Selatan, di mana terletaknya Alur Laut Kepulauan Indonesia dipenuhi pelantar minyak yang ditinggalkan, sesetengahnya mencapai kedalaman 100 meter ke dasar laut.

Malaysia dan Indonesia telahpun menyuarakan kegusaran terkait perjanjian keselamatan di antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS) yang telah diumumkan pada September 2021.

Menerusi AUKUS, Australia bakal memiliki kapal selam bertenaga nuklear menjelang tahun 2040.

Tanpa diragui, alur laut Asia Tenggara adalah sanggat penting untuk laluan kapal-kapal termasuk armada ketenteraan kuasa-kuasa besar seperti China, Rusia dan Amerika Syarikat.

Malaysia dan Indonesia tidak berhak untuk menghalang atau mengganggu gugat pelayaran kapal-kapal asing yang menelusuri wilayah laut mereka di Selat Melaka dan Singapura, sepertimana termaktub di dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Undang-undang Laut Antarabangsa (LOSC).

Menerusi konvensyen yang sama, Indonesia juga dikehendaki membuka alur laut kepulauan (ALK) mereka untuk pelayaran antarabangsa tanpa sebarang halangan. Ini termasuk pelayaran yang dilakukan oleh kapal-kapal bertenaga nuklear.

Kapal Selam Bertenaga Nuklear

Kapal selam bertenaga nuklear ulung, USS Nautilus melayari lautan dunia kali pertama pada tahun 1955.

Pada hari ini, terdapat lebih banyak negara yang memiliki kapal-kapal selam bertenaga nuklear iaitu Amerika Syarikat, Perancis, China, Rusia, India dan United Kingdom.

Beberapa negara lain seperti Argentina, Brazil dan Australia sedang berusaha memperkembangkan projek berkaitan pembangunan kapal-kapal selam bertenaga nuklear untuk armada laut masing-masing.

Kesan-kesan Pencemaran Radioaktif

Terdapat 9 kapal-kapal selam bertenaga nuklear yang telah tenggelam di lautan seluruh dunia.

Kapal-kapal selam ini memiliki bahan buangan radioaktif (spent nuclear fuel) yang boleh secara perlahan bocor ke perairan di kawasan mana ianya tenggelam, sekaligus memberi kesan ke atas alam sekitar di sekelilingnya.

Sebagai contoh, kapal selam bertenaga nuklear milik Kesatuan Soviet, kini Rusia, K-278 tenggelam ke dasar Laut Norway pada tahun 1989 setelah ianya terbakar.

Ekspedisi bersama yang dilakukan oleh Rusia dan Norway pada tahun 2019 mendapati kapal selam tersebut melepaskan radiasi sehingga 800.000 kali melebihi paras normal.

Bahan buangan radioaktif adalah lebih berbahaya daripada bahan buangan lain kerana ianya melepaskan radiasi berbahaya, yang boleh memberikan kesan buruk dari pelbagai aspek termasuk migrasi ikan global, perikanan pelagik, kesihatan manusia dan keselamatan ekologi.

Walaupun kapal-kapal selam bertenaga nuklear yang telah tenggalam ini tidak melepaskan bahan buangan radioaktif sebanyak tragedi Chernobyl, tiada yang boleh menafikan bahawa jumlah kapal-kapal selam bertenaga nuklear yang akan melewati alur laut Asia Tenggara yang sibuk ini akan meningkat dalam tahun-tahun yang mendatang, meningkatkan potensi berlakunya kemalangan maritim yang tidak diingini.

Memang benar, belum ada sebarang kecelakaan yang melibatkan kapal-kapal selam bertenaga nuklear di perairan Asia Tenggara.Namun, kejadian baru-baru ini yang melibatkan kapal selam bertenaga nuklear milik Amerika Syarikat terlanggar sesuatu di Laut China Selatan telah menimbulkan kegusaran terjadinya kemalangan melibatkan kapal selam bertenaga nuklear di rantau ini.

Perkara sebegini tidak boleh dipandang enteng kerana ianya boleh mengancam keselamatan dan kesejateraan negara-negara serantau.

Kesimpulan

LOSC telah diderafkan pada tahun 70an, di zaman yang mana kapal-kapal selam bertenaga nuklear pada waktu itu tidak sebanyak hari ini.

Navigasi kapal-kapal selam bertenaga nuklear membawa risiko yang lebih tinggi berbanding kapal-kapal konvensional bukan bertenaga nuklear.

Menerusi AUKUS, Australia bakal memiliki kapal selam bertenaga nuklearnya sendiri menjelang tahun 2040.

China semakin galak dalam memperkukuhkan kekuatan ketenteraannya di Laut China Selatan manakala Amerika tetap dengan inisiatif operasi kebebasan pelayaran mereka di rantau ini.

Tanpa ragu, rantau ini akan dilintasi lebih banyak kapal-kapal ketenteraan, termasuk kapal-kapal selam bertenaga nuklear dalam waktu mendatang.

Bagi melindungi kepentingan negara-negara pesisir, Malaysia dan Indonesia boleh memulakan inisiatif dalam mendatangkan cadangan bahawa pelayaran kapal-kapal selam bertenaga nuklear yang melewati alur laut penting Asia Tenggara perlu tertakluk kepada syarat-syarat yang lebih ketat.

Jika dilihat menerusi amalan sebelum ini, negara-negara maritim seperti Amerika Syarikat dan Rusia seringkali secara berterusan menekankan hak kebebasan pelayaran dan menentang sebarang usaha menghalang pelayaran antarabangsa dalam apa jua keadaan.

Oleh itu, sekiranya perkara ini berlaku, Kuala Lumpur dan Jakarta bakal menghadapi cabaran yang besar dalam mendatangkan cadangan bagi melaksanakan ‘syarat-syarat yang lebih ketat’ terhadap pelayaran kapal-kapal selam bertenaga nuklear.

Undang-undang antarabangsa menerusi LOSC telahpun memberikan bidangkuasa yang terhad kepada hak negara-negara pesisir dalam mengatur pelayaran kapal-kapal asing.

Dalam keadaan ini, Malaysia perlu sentiasa bersiap siaga dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada anasir yang tidak diingini agar perairan negara tidak berada di ambang bahaya.

* Profesor Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli adalah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan Law dan felo penyelidik di Australian National University Malaysia Institute, Canberra, Australia.

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Galabet Portobet Deneme Bonusu Galabetguncelgirisi Galabetonlinecasino Galabetonlineslotoyna