Memartabatkan bahasa Melayu? Mulakan di Putrajaya dahulu
Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli June 11, 2022 · Rencana
Memartabatkan bahasa Melayu? Mulakan di Putrajaya dahulu – Agenda Daily
Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob telah menunjukkan usaha bagi memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
Pengumuman telah dibuat bagi memastikan kerajaan berkomunikasi dengan pihak dari negara lain dalam bahasa Melayu.
Ada pihak yang menyokong usaha ini tapi banyak juga yang memperlekehkannya.
Bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa kebangsaan Malaysia sejak Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, seterusnya membentuk Malaysia menerusi penyertaan Sabah dan Sarawak pada tahun 1963.
Bahasa Melayu bukanlah sekadar bahasa kebangsaan Malaysia. Ianya diangkat sebagai bahasa kebangsaan bagi Brunei Darussalam dan Singapura. Bahasa Indonesia, yang berasal dari bahasa Melayu juga diangkat sebagai bahasa kebangsaan Indonesia.
Berdasarkan data dari Global Language Monitor, Bahasa Melayu/Indonesia diiktiraf sebagai bahasa kesembilan di dunia dengan penutur paling ramai.
Ini adalah satu fakta yang menunjukkan bahawa Bahasa Melayu adalah salah sebuah bahasa utama dunia terutamanya di Asia Tenggara.
Sejak kemerdekaan, kerajaan pusat di Jakarta telah memperluaskan penggunaan bahasa Indonesia ke seluruh wilayah negara kesatuan republik Indonesia untuk dipertuturkan oleh semua ras dan etnik berbangsa Indonesia.
Malah, masih ramai rakyat Timor-Leste yang boleh berbahasa Indonesia dengan baik sehingga hari ini walaupun negara tersebut telah berpisah daripada pentadbiran Jakarta pada tahun 2002.
Bahasa Indonesia telah berjaya dimartabatkan oleh pemerintah dan rakyat Indonesia. Mereka tidak perlu lagi berkobar-kobar mengadakan program memartabatkan bahasa kebangsaan sepertimana Malaysia.
Apa yang silap di sini?
Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan lebih daripada 60 tahun, negara masih lagi dibelenggu situasi rakyat yang tidak berkebolehan bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik.
Kalau Indonesia dijadikan sebagai garis ukur, sesiapa pun dapat melihat kedua-dua kerajaan dan rakyat Indonesia tidak kira kaum, keturunan dan agama sama-sama memartabatkan dan bangga berbahasa Indonesia, dari Aceh di Barat sehingga Merauke di Timur.
Indonesia juga seringkali mengetengahkan budaya masyarakat tempatan untuk disajikan kepada dunia.
Malah, illustrasi pembangunan kota Nusantara, ibukota Indonesia yang baru menunjukkan senibina masyarakat tempatan akan diberikan keutamaan.
Walaupun Malaysia sudah memiliki Putrajaya, apakah yang ‘Melayu’ atau ‘Malaysia’ mengenai Putrajaya?
Senibina bangunan di Putrajaya tidak ada satupun yang bernuansakan masyarakat tempatan memandangkan kebanyakan bentuk bangunan diilhamkan daripada senibina Timur Tengah.
Kawasan-kawasan di Putrajaya juga dilabel sebagai ‘Presint’ atau ‘Parcel’, sedangkan terdapat perkataan-perkataan Melayu yang boleh digunakan sebagai ‘Mukim’, ‘Kawasan’ ataupun ‘Gedung’.
Sekiranya pelancong asing ke Thailand, budaya Thai dan senibina Thai dapat dirasakan saat melangkah ke ibu kotanya Bangkok. Begitu juga dengan kota-kota lain di Asia seperti Seoul atau Tokyo yang mana budaya Korea dan Jepun sangat terserlah.
Bagaimana pula dengan Kuala Lumpur atau Putrajaya? Seberapa mudah bagi rakyat Malaysia menyajikan sesuatu yang bernuansakan Melayu kepada pelancong asing di ibu negara Malaysia sendiri?
Usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa adalah suatu usaha yang patut dipuji.
Akan tetapi sebelum usaha ini dijadikan keutamaan, kerajaan seharusnya memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia terlebih dahulu – dengan memastikan rakyat mencintai bahasa Melayu dan fasih menuturkannya.
Memang jelas, tidak semua rakyat yang berbangga terhadapnya.
Yang nyata, sekiranya tidak ada yang Melayu mengenai Putrajaya, baik dari segi bahasa, budaya, senibina ataupun nuansanya, usaha memartabatkan bahasa Melayu di peringkat
antarabangsa mungkin akan berakhir retorik semata-mata.
Profesor Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli
Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.