Sudah-sudahlah dengan laungan Malaysia Gagal
Sudah-sudahlah dengan laungan Malaysia Gagal – Agenda Daily
May 27, 2022
Akibat daripada amalan kronisme, nepotisme dan rasuah yang berleluasa, Sri Lanka kini diambang kebangkrapan menambahkan kesengsaraan rakyatnya yang terpaksa bergelut dengan masalah ekonomi. Rakyat Sri Lanka berdepan dengan bekalan petrol yang sudah kehabisan, bahan makanan yang tidak mencukupi, masalah inflasi yang melampau disamping kemelut politik yang belum berkesudahan.
Mengambil peluang daripada kesempitan yang dihadapi Sri Lanka, baru-baru ini, seorang pemimpin pembangkang yang sepatutnya sudah bersara, Saudara Lim Kit Siang, telah membuat kenyataan bahawa Malaysia mungkin akan mengikut jejak langkah Sri Lanka menjelang tahun 2057.
Ini bukanlah kali pertama Saudara Kit Siang dengan lantang menyatakan Malaysia di ambang kegagalan.
Pada 29 Mei 2010, Saudara Kit Siang yang ketika itu adalah Penasihat parti DAP menyatakan rakyat perlu menukar kerajaan sedia ada kerana Malaysia diambang kebangkrapan seperti mana yang berlaku kepada negara Yunani (Greece) pada ketika itu.
Beliau membuat kenyataan yang sama pada tahun 2016, bahawa Malaysia bakal gagal. Sewaktu kemuncak negara memerangi Pandemik Covid-19 pada Julai 2021, tokoh politik ini ada membuat kenyataan yang sama menyatakan Malaysia di ambang kegagalan.
Tidak cukup dengan itu, anak tokoh politik ini yang pernah menjadi Menteri Kewangan selama 22 bulan, Saudara Lim Guan Eng juga pernah menyatakan Malaysia bakal bangkrap pada tahun 2019.
Disebalik pengataan-pengataan yang pastinya mencalar maruah negara, bekas Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri mengakui Malaysia memiliki wang simpanan sebanyak RM2 trillion sebelum beliau meletakkan jawatan secara sukarela pada awal tahun 2020.
Di sini penulis ingin memberikan pandangan yang lebih seimbang.
Pertama sekali, negara gagal adalah sebuah negara di dalam kecelaruan dengan sistem kesihatan yang tidak berfungsi, agensi-agensi kerajaan dengan budaya makan suap yang tiada penghujungnya, kemudahan prasarana yang parah dengan Indeks Pembangunan Manusia (HDI) yang amat rendah. Tiada satu pun ciri-ciri ini ada pada Malaysia.
Sekiranya Malaysia benar-benar menuju kegagalan, majoriti warganya akan tersungkur ke kancah kedaifan dalam waktu terdekat dengan seluruh negara dibelenggu kekacauan tidak berkesudahan.
Sebaliknya, Malaysia diiktiraf sebagai negara yang stabil pada tahun 2021 menurut ‘Fragile State Index’ terbitan majalah Foreign Policy.
Pada tahun 2021, Indeks Keamanan Global meletakkan Malaysia sebagai negara ke 23 paling aman di dunia, mengatasi negara-negara Eropah seperti Sepanyol, United Kingdom dan Itali.
Tidak seperti Sri Lanka, rakyat Malaysia tidak perlu beratur panjang untuk mendapatkan bekalan petroleum, bahan makanan dan tidak perlu berhadapan dengan masalah gangguan elektrik saban hari.
Menurut agensi akhbar WION, harga-harga bahan makanan di Sri Lanka telah naik mendadak. Harga beras sebagai contoh naik 93% daripada harga sebelum kemelut ekonomi manakala harga daging ayam meningkat sebanyak 55%.
Akibat daripada kadar inflasi yang menjulang tinggi, kadar hutang yang tidak dapat dikawal, rizab negara yang semakin berkurang serta nilai matawang Sri Lanka Rupee yang menjunam, Sri Lanka terus dibelenggu dengan masalah ekonomi yang dahsyat.
Menjelang Mac 2022, Sri Lanka hanya memiliki rizab rasmi sebanyak US$1.94 billion, lebih kurang kekayaan yang dimiliki Kylie Jenner, model berusia 24 tahun yang berasal dari Amerika Syarikat. Akan tetapi, tidak seperti negara Sri Lanka, kekayaan Kylie Jenner adalah milik peribadi model berkenaan manakala Sri Lanka memerlukan dana ini untuk pelbagai urusan negara dan memenuhi keperluan sejumlah 20 juta rakyatnya.
Jika dibanding dengan Malaysia, setakat Julai 2021, rizab rasmi Malaysia adalah US$111.06 billion seperti mana yang dilaporkan akhbar The Star pada Ogos 2021. Pada April 2022, Fitch Ratings mengekalkan penarafan kredit Malaysia kepada ‘BBB’ menggambarkan kualiti kredit yang baik dengan tinjauan yang stabil. Sri Lanka pula diberikan penarafan “C” yang bermaksud tahap risiko kredit yang sangat tinggi.
Di peringkat masyarakat, kestabilan ekonomi ini dapat dilihat menerusi corak perbelanjaan kebanyakan rakyat Malaysia sendiri. Sewaktu musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini, rakyat Malaysia tidak kira kaum beraya sakan pulang ke kampung dan melancong ke sana dan ke sini.
Pejabat Imigresen di seluruh negara dilaporkan dikerumuni rakyat dari segenap lapisan masyarakat ingin memohon atau memperbaharui pasport, kalau bukan untuk tujuan bekerja, sudah tentu bertujuan untuk melancong ke luar negara.
Bagaimana mungkin rakyat sebuah negara yang berada diambang kegagalan memiliki kesenangan dan kemewahan sebegini?
Sri Lanka kini berhutang sebanyak US$8.6 billion yang perlu dibayar pada tahun 2022 dengan bayaran faedah sebanyak US78.2 juta yang perlu dibayar sejak April 2022. Pentadbiran Sri Lanka di Colombo telah mengisytiharkan kegagalan melunaskan jumlah keseluruhan hutang luarnya sebanyak US$51 billion yang pastinya sudah menjadi mimpi ngeri warganya.
Sri Lanka, yang kini telah kehabisan bahan bakar petroleum memerlukan US$20 billion bagi membolehkan negara tersebut mengimport bahan keperluan untuk rakyatnya.
Kesulitan ini tidak dilalui majoriti rakyat Malaysia yang rata-ratanya dapat hidup selesa merayakan perayaan Aidilfitri baru-baru ini dengan aman dan sejahtera tanpa kesusahan yang melampau. Walaupun negara baru pulih dari ancaman Pandemik Covid-19, rakyat dilihat masih mampu berbelanja untuk pulang ke kampung halaman berhari raya, melancong, membeli-belah dan sebagainya.
Berdasarkan fakta-fakta ini, agak keterlaluan bagi tokoh-tokoh politik ini melabelkan Malaysia sebagai negara yang menuju kegagalan, hanya kerana ingin mengambil kesempatan retorik politik di atas kesempitan yang dihadapi oleh Sri Lanka.
Tokoh-tokoh ini juga telah diberikan peluang mentadbir negara tetapi peluang yang diberikan disia-siakan setelah 22 bulan berkuasa.
Janganlah kerana kepentingan politik masing-masing, perkara-perkara buruk didoakan dan dilemparkan terhadap negara.
Malaysia negara gagal? Sudah-sudahlah membawa dakyah palsu tidak berfaedah yang menjengkelkan.
*Profesor Madya Dr. Mohd Hazmi Mohd Rusli, Pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia
*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.